Lebih setahun Zalina Azman hilang tanpa jejak, rakan percaya masih hidup

Lebih setahun Zalina Azman hilang tanpa jejak, rakan percaya masih hidup

Lebih setahun Zalina Azman hilang tanpa jejak, rakan percaya masih hidup. Kehilangan bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman, 58, atau lebih dikenali sebagai Zalina Azman sejak lebih setahun lalu terus kekal menjadi tanda tanya.

Sehingga kini, tiada petunjuk baharu berhubung kehilangannya pada November 2021 walaupun sudah tiga kali pasukan penyiasat ke rumah dimiliki personaliti terbabit.

Wartawan yang meninjau di rumah Zalina di Seksyen 3 di sini, mendapati keadaan rumah terbabit lengang dan sunyi selain mula dipenuhi lalang.

Malah, pintu pagar juga ditutup rapat selain tiada sebarang kerja pengubahsuaian rumah dijalankan.

Lebih setahun Zalina Azman hilang tanpa jejak, rakan percaya masih hidup

Seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia melihat pasukan polis ke rumah terbabit pada Julai lalu.

“Selepas itu memang tiada sesiapa yang masuk, kadang-kadang hanya terlihat wartawan dan jurugambar sahaja.
“Pada asalnya pintu pagar rumah berkenaan tercabut namun sudah dipasang semula dan ditutup rapat,” katanya ketika ditemui, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, meskipun tiada petunjuk baharu terhadap kehilangan wanita terbabit namun siasatan masih diteruskan.

Menurutnya, kes itu tidak pernah ditutup, malah ia dibuat secara menyeluruh mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Siasatan terperinci dilakukan termasuk mendapatkan informasi atau perkembangan kes daripada ahli keluarga dan individu yang mempunyai maklumat mengenainya.

“Namun sehingga kini, tiada sebarang petunjuk baharu diperoleh mengenai keberadaan Zalina, malah kediaman berkenaan juga tidak menunjukkan ada pergerakan keluar dan masuk oleh sesiapa,” katanya ketika dihubungi.

Pada Julai lalu, berita kehilangan personaliti berkenaan dikongsikan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerusi satu laporan.

Dalam laporan berkenaan, Zalina disifatkan berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan beralamat akhir di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor.

Kali terakhir anak kepada bekas personaliti TV3 itu berhubung dengan ibunya adalah pada Julai tahun lalu.

Polis menerima laporan daripada anak lelaki Zalina, Mikhael Norman, 33, berhubung kehilangan ibunya pada 29 November tahun lalu.

Zalina dilaporkan hilang selepas Mikhael gagal menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan bapa personaliti televisyen itu dimasukkan ke hospital.

Zal masih hidup: Ras Adiba

Bekas personaliti TV3, Zalina Shaharah Azman, 58, yang dilaporkan hilang sejak November tahun lalu dipercayai masih hidup.

Rakan baiknya, Datuk Ras Adiba Radzi, 54, berkata beliau percaya Zalina masih hidup dan akan terus menunggu kemunculannya semula.

Menurutnya, dia juga ada beberapa kali menghubungi pihak polis namun tiada perkembangan lanjut berhubung kehilangan rakannya.

Selain itu, katanya, dia dan rakan-rakannya turut menghantar mesej kepada Zalina menerusi media sosial dengan harapan akan menerima balasan daripadanya.

“Daripada keluarga pula, saya tidak tahu apa sedang berlaku namun saya pasti mereka tidak putus asa untuk mencari di mana keberadaannya.

“Saya secara peribadi berasa Zal masih ada (hidup), namun tidak tahu dia di mana. Jadi, saya mohon sesiapa saja untuk bantu beritahu saya atau pihak polis sekiranya ada ternampak Zal. Kami risau dan merinduinya.

“Saya berdoa supaya Zal dapat kembali dalam keadaan sihat. Namun begitu sekiranya sebaliknya, saya pohon Allah permudahkan segala urusan untuk kami bertemu dengannya dalam apa jua keadaan dan situasi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, dia berharap Zalina membaca berita mengenai kerisauan rakan-rakan sejak kisah kehilangannya diketahui ramai.

“Kami akan terus menyokong Zal dalam apa jua keadaan. Saya berdoakan Zal membaca apa yang akan ditulis daripada berita ini. Saya doa akan ada orang beritahu kepadanya bahawa saya rindukannya.

“Malah, sewaktu bertemu rakan lain tempoh hari, memang kami ada berbincang mengenai Zal. Mereka memang banyak bertanya kerana saya sentiasa ada untuk mencari Zal. Semoga Tuhan membuka jalan untuk bertemu dengan sahabat saya,” katanya.

Sementara itu, Datuk Aznil Nawawi berkata, dia dan rakan lain merayu kepada Zalina atau sesiapa yang bersamanya untuk muncul.

“Baru-baru ini, saya ada berbincang dengan Datuk Ras Adiba, Haliza Hashim, Zakiah Anas dan Azura Karim. Tapi kami juga agak buntu.

“Dalam masa sama, kami juga sangat berhati-hati dalam usaha menjejak Zalina sebab takut mengganggu usaha pihak polis. Bukan apa, takut kesan dari rancangan kami membahayakan Zalina pula,” katanya.

Seorang lagi rakan Zalina yang juga bekas personaliti TV3, Zakiah Anas berkata, dia juga buntu berhubung kehilangan rakannya yang sehingga kini gagal dikesan.

“Setakat ini memang senyap sunyi. Tidak ada khabar berita langsung mengenai sahabat kami.

Saya dan rakan lain pun buntu. Tidak tahu nak buat apa lagi. Moga Zalina dalam jagaan Allah SWT,” katanya.

Baca Lagi:
Misteri kanak-kanak bergambar dengan wang berjuta-juta dalam bilik
Duit banyak simpan dalam stor, terpaksa panggil sekampung bantu tolong kirakan
Cipta sejarah Malaysia, lelaki Pulau Pinang menang jakpot RM69,637,527.35 juta dengan modal RM50
CATEGORIES