Lebih 80 ekor lembu terjual untuk ibadah korban, lelaki ini jual dengan harga paling murah dalam Malaysia. Menjual lembu untuk ibadah korban pada harga murah telah membolehkan lebih daripada 80 ekor lembu yang diternak oleh seorang lelaki laris terjual sejak dua bulan lalu.
Lembu korban baka Brahman dan Kelantan Kedah (KK) tersebut dijual pada harga serendah RM3,200 hingga RM6,000 seekor, bergantung kepada saiznya.
Penternak Hafizatul Najmi Pizat, 34 tahun, berkata penawaran jualan lembu terlalu banyak menyebabkan harga haiwan ternakan itu perlu diturunkan bagi memastikan terjual.
“Saya menjual lembu dengan harga paling rendah RM3,200 dan banyak yang terjual. Antara faktor penternak tidak berjaya menjual ternakan mereka adalah kerana enggan menurunkan harga.
“Mereka terlalu mengejar keuntungan sehingga tidak mahu menurunkan harga lembu pada harga rendah dan akhirnya lembu tidak terjual.
“Dalam keadaan kuasa pembeli semakin terhad sekarang, saya tidak kisah memperoleh untung kecil, asalkan ternakan terjual,” katanya ketika ditemui di Kampung Gomuk, Tepoh, di sini.
Katanya, dia mengakui kos makanan ternakan semakin meningkat menyebabkan ramai penternak yang tersepit.
“Oleh itu penternak tidak boleh hanya bergantung kepada dedak yang dijual di pasaran, kerana saya juga banyak beri rumput segar untuk menjimatkan kos bulanan.
“Pengurangan kos makanan lembu melalui penjimatan yang dibuat membolehkan lembu dijual pada harga murah berbanding harga pasaran,” katanya.
Katanya dia yakin permintaan lembu akan meningkat menjelang seminggu sebelum Hari Raya Aidiladha kerana ramai yang gemar membeli pada saat-saat akhir.