Lans Koperal polis kini kerja jaga parkir, hilang kerja kerana ‘rasuah’

Photo of author

By Joe

Lans Koperal polis kini kerja jaga parkir, hilang kerja kerana ‘rasuah’. Bekas anggota polis berpangkat Lans Koperal dipenjara sehari dan didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini kerana menerima wang berjumlah RM3,000 untuk melepaskan seorang lelaki warga asing yang ditahan di lokap berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Anita Harun, menjatuhkan hukuman tersebut selepas tertuduh, S Kabilann, 34, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang dikemukakan terhadapnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tambahan enam bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda yang dikenakan. Tertuduh telah membayar denda tersebut.

Lans Koperal polis kini kerja jaga parkir, hilang kerja kerana 'rasuah'

Kabilann didakwa ketika kejadian sebagai anggota polis berpangkat Lans Koperal di IPD Shah Alam, menerima wang tunai RM3,000 menerusi akaun bank miliknya daripada seorang lelaki berusia 47 tahun yang diketahui mempunyai kaitan dengan tugasnya.

Perbuatan itu dilakukan di sebuah cawangan bank di Kapar pada 13 Disember 2022 dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, tertuduh yang bertugas di lokap Berpusat IPD Shah Alam telah menakut-nakutkan seorang lelaki untuk bertindak sebagai penjamin terhadap seorang warga Nepal yang ditahan atas pergaduhan bersenjata, yang boleh dihukum penjara beberapa tahun. Tertuduh menghubungi lelaki itu dan meminta RM3,000 dimasukkan ke dalam akaun miliknya untuk melepaskan warga Nepal berkenaan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar diberikan hukuman paling ringan kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap sejak dua tahun lalu selepas dibuang kerja. “Saya kini hanya penjaga parkir dan menyara kedua ibu bapa serta dua anak yang masih kecil,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, memohon hukuman berat kerana pengakuan bersalah tertuduh hanya bersifat pilihan. “Mohon mahkamah mempertimbangkan bahawa tertuduh adalah penjawat awam yang telah menyalahgunakan amanah yang diberikan kepadanya. Oleh itu, hukuman ini adalah sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat,” katanya.

Baca Lagi:
Dua anggota polis parah tertimbus tanah ketika operasi musnah bom
Nak beli rumah tanpa bayar ‘down payment’? Ini caranya..
“Dah sama level dengan Khairul Aming”- Wanita Orang Asli raih jualan RM1 juta dalam masa 1 minggu di TikTok