Lagi 4 bulan nak bebas, lelaki ini ditambah hukuman penjara selama 40 tahun, rupanya ini yang dia buat. Seorang banduan ternyata tidak berfikir panjang apabila melarikan diri dari penjara di Mississippi, Amerika Syarikat (AS), ketika hukuman penjaranya hanya berbaki beberapa bulan.
Akibat perbuatan itu, lelaki berusia 21 tahun berkenaan terpaksa meringkuk dalam penjara untuk tempoh 40 tahun lagi.
Ketika kejadian, Shunekndrick Huffman, 21, menjalani hukuman penjara tujuh tahun atas kesalahan melakukan serangan, dan dia dijangka dibebaskan empat bulan lagi iaitu pada Disember tahun lalu.
Portal Sky News melaporkan, hakim menjatuhkan hukuman penjara 40 tahun itu selepas mendapati Huffman bersalah melakukan penculikan selepas melarikan diri dari penjara pada 25 Ogos 2022.
Difahamkan, selepas melarikan diri dari Fasiliti Koreksional Mississippi Tengah itu, Huffman menceroboh masuk ke dalam sebuah rumah berhampiran.
Selain itu, dia menahan individu dengan menggunakan senjata api.
Huffman turut mencuri sebuah kereta daripada salah seorang daripada mereka. Tetapi dia kemudian terpaksa melarikan diri dengan berjalan kaki selepas kenderaan itu rosak.
Huffman ditemukan bersembunyi di dalam tong sampah di Hospital Mississippi State di Whitfield, kira-kira 3.2 kilometer (km) dari penjara.
Menurut laporan media tempatan, dia ditahan semula beberapa jam selepas melarikan diri.
Sementara itu, pengurusan Fasiliti Koreksional Mississippi Tengah, Burl Cain, memberitahu televisyen tempatan yang keselamatan akan dipertingkatkan untuk mengelakkan insiden sama berulang.
Beliau juga memohon maaf atas kesulitan susulan insiden berkenaan.
Katanya, insiden itu juga berpunca akibat siren untuk memaklumkan penduduk tempatan mengenai banduan yang melarikan diri, gagal berfungsi pada masa kejadian.