Kontraktor terkejut jumpa rangka bayi yang dah meninggal 100 tahun bawah lantai

Photo of author

By Joe

Kontraktor terkejut jumpa rangka bayi yang dah meninggal 100 tahun bawah lantai. Penemuan rangka bayi di bawah papan lantai sebuah rumah semasa pengubahsuaian, yang dipercayai meninggal dunia lebih 100 tahun lalu, dianggap dalam keadaan mencurigakan.

Memetik laporan Mirror.uk, rangka bayi yang baru lahir itu ditemui di Fore Bondgate, Bishop Auckland, County Durham, minggu lalu.

Rangka bayi tersebut ditemui oleh kontraktor selepas mereka mengangkat papan lantai di sebuah unit flat yang terletak di salah satu jalan tertua di bandar itu, pada 11.15 pagi 28 Julai lalu.

Kontraktor terkejut jumpa rangka bayi yang dah meninggal 100 tahun bawah lantai

Dilaporkan, bayi itu dibalut dengan surat khabar dan seutas tali di lehernya.

Pegawai polis Durham yang menyiasat kejadian itu sedang berusaha menjejaki sejarah penduduk terdahulu.

Penyiasat yang memeriksa cebisan surat khabar tersebut mendapati tarikh ia dikeluarkan adalah pada tahun 1910.

Pemeriksaan forensik juga mengesahkan bahawa bayi itu cukup bulan pada 40 minggu, tetapi jantinanya masih belum diketahui.

Polis berkata ujian forensik lanjut sedang dijalankan dalam beberapa minggu akan datang, termasuk penentuan usia melalui tarikh karbon untuk mengesahkan penemuan awal.

Lokasi penemuan tersebut adalah sebuah bangunan yang dibina pada zaman Victoria dan pada suatu ketika ia menempatkan unit ibu dan bayi yang dikendalikan oleh gereja.
Bagaimanapun, dipercayai bayi itu disembunyikan sebelum zaman tersebut.

Ketua Detektif, Inspektor Mel Sutherland dari Durham Constabulary, berkata: “Bukti menunjukkan kejadian ini berlaku sangat lama dahulu, menjadikannya sukar untuk menyiasat keadaan tersebut.

“Tetapi kami masih mempunyai tanggungjawab terhadap bayi itu.

“Fokus utama saya adalah untuk mengetahui siapa bayi itu, apa yang berlaku, dan bagaimana ia boleh berada di bawah papan lantai rumah tersebut.

“Sebaik sahaja kami mendapatkan jawapannya, saya bertekad supaya bayi kecil ini diberi upacara pengebumian yang sesuai dan bermaruah,” katanya.

Polis berkata mereka kini sedang mengumpul maklumat sejarah mengenai pemilikan rumah tersebut dari tahun 1900 hingga 1920.

Ini termasuk mendapatkan rekod dan mengesan susur galur keluarga untuk berpotensi mengenal pasti sebarang saudara-mara yang masih hidup.

Baca Lagi:
Baru je siap jadi pusat tarikan baharu, Majlis Daerah Cameron Highlands robohkan Cameron Santorini
Orang ramai berebut kumpul habuk tepi jalan gara-gara tular berita berlian harga jutaan tercicir
Manusia terkaya di dunia, Jeff Bezos hilang RM67 bilion dalam masa sehari