Kisah tentera Jepun yang hilang akal berdepan cucu Tok Pulai Chondong

Kisah tentera Jepun yang hilang akal berdepan cucu Tok Pulai Chondong

Kisah tentera Jepun yang hilang akal berdepan cucu Tok Pulai Chondong.

Gadis-gadis Melayu di Kampung Pulai Chondong lari lintang pukang menyelamatkan diri agar tidak ditangkap komunis. Setelah penat berlari, gadis-gadis itu masuk ke pekarangan rumah Imam Masjid Tok Pulai Chondong, Haji Muhamad bin Mohd Arshad yang merupakan cucu kepada Haji Abdul Samad Faqih Abdullah yang terkenal dengan gelaran ‘Tok Pulai Chondong’.

Gadis-gadis itu tahu hanya di rumah cucu Tok Pulai Chondong yang terkenal dengan kealimannya, mereka akan selamat daripada kerakusan tentera Jepun.

Tiga orang anggota tentera Jepun terus mengepung rumah itu. Gadis-gadis tadi terus bersembunyi, bersesak-sesak dalam empat buah bilik.

Dammmm!! Pintu bilik yang berkunci rapi ditendang dengan kuat oleh tentera Jepun. Tok Imam Masjid Pulai Chondong cuba menyekat dan melindungi gadis-gadis tadi daripada menjadi mangsa kebuasan tentera Jepun.

Pergelutan berlaku antara salah seorang tentera Jepun dengan Tok Imam. Salah seorang daripada tentera Jepun mengacukan muncung senapang tepat ke arah badan Tok Imam dan…

MOHD NOR BIN HAJI MUHAMMAD, anak Tok Imam Masjid Pulai Chonding berjaya melarikan diri semasa kejadian itu dan hanya mampu berdoa, memohon perlindungan Allah agar ayahnya selamat daripada dibunuh tentera Jepun,

Kisah tentera Jepun yang hilang akal berdepan cucu Tok Pulai Chondong

Ketika itu Mohd. Nor baru berusia enam tahun, tidak mampu melakukan apa-apa untuk membantu ayahnya. Dia terpaksa melarikan diri sejauh mungkin. Jika terus berada di rumah, sudah tentu nyawanya akan melayang.

Tanpa melihat apa yang terjadi kepada ayahnya, Mohd Nor terus keluar berjalan tempang dan bertongkat, melarikan diri ke hujung kampung dengan harapan mendapat perlindungan di sana.

Mohd Nor berlindung di rumah Tok Din, salah seorang penduduk yang disegani penduduk Pulai Chondong. Dia menceritakan kejadian yang berlaku dari awal tentera Jepun mengejar gadis-gadis itu dari pekan Pulai Chondong sehinggalah ayahnya bergelut dan hendak ditembak.

Ketika berada di rumah Tok Din itu, mereka terdengar satu das tembakan dari arah rumah Tok Pulai Chondong yang terletak kira-kira 100 meter. Dentumannya meraung di udara.

Mohd Nor dan Tok Din terkejut, tetapi tidak mampu berbuat apa-apa untuk membantu ayahnya dan 15 orang gadis yang bersembunyi tadi kerana tentera Jepun lengkap bersenjata.

Adakah Tok Imam Masjid Pulai Chondong itu sudah terbunuh? Malah, Tok Din sendiri yakin, Tok Imam itu sudah pasti dibunuh tentera Jepun.

MOHD NOR bermalam di rumah Tok Din. Hanya menjelang Subuh, barulah Mohd Nor pulang ke rumah. Ketika itu perasaannya bercampur-baur, antara takut dan sedih di atas peristiwa yang berlaku petang semalam.

Dia sedih kerana ayahnya ditembak tentera Jepun. Dia juga sedih gadis-gadis berusia belasan tahun itu sudah tentu diperkosa tentera Jepun.

Namun, setibanya Mohd Nor di pekarangan rumah, dia terkejut besar apabila melihat ayahnya sedang khusyuk membaca al-Quran. Tubuh ayahnya juga sihat walafiat tidak menunjukkan sebarang kecederaan.

Malah, Mohd Nor hairan semua gadis yang bersembunyi di dalam bilik rumahnya juga terselamat daripada kebuasan tentera Jepun.

Mohd Nor tertanya-tanya apakah sebenarnya yang telah terjadi? Bukankah semalam, ayahnya ditembak oleh tentera Jepun?

Ayahnya hanya tersenyum apabila melihat Mohd Nor masih lagi tidak percaya melihat dia masih sihat dan boleh membaca al-Quran seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Setelah ayahnya bercerita barulah Mohd. Nor tahu kejadian sebenar yang berlaku semalam…

SEBENARNYA, sebaik saja membidik tepat ke arah Tok Imam Pulai Chondong dalam jarak dekat, tentera Jepun cuba menarik picu senapangnya, tetapi…

Tingggg! Berdenting kelongsong peluru jatuh ke lantai. Pelik, senjata api di tangan tentera Jepun tidak meletup! Adakah senapang itu rosak?

Seorang lagi tentera Jepun cuba melepaskan satu lagi das tembakan. Setelah picu ditarik hasilnya tetap sama, kelongsong peluru saja yang terkeluar. Bunyi tembakan tidak kedengaran.

Seorang lagi tentera Jepun cuba melepaskan satu das lagi tembakan. Hasilnya tetap sama. Senapang mereka tetap tidak meletup! Mustahil ketiga-tiga laras senapang tentera Jepun itu rosak?

Tentera Jepun tadi yang merasa amat marah memandang bengis ke arah Tok Imam Pulai Chondong yang tidak tercedera. Mereka pelik, sudah tiga kali tembakan cuba dilepaskan tetapi kenapa tidak meletup.

Kejadian aneh itu membingungkan tentera Jepun. Kerana terlalu marah tidak dapat membunuh Tok Imam Pulai Chondong, tentera Jepun melepaskan geram ke arah jam yang tergantung di dinding.

Dummm! Letupan kedengaran, tapi tembakan tentera Jepun tersasar. Mustahil seorang tentera terlatih tidak cekap membidik sebuah jam dalam jarak tidak sampai sepuluh meter.

Paling menghairankan, mengapa senapang yang sama digunakan untuk menembak Tok Imam Pulai Chondong tadi meletup pula bila dihalakan ke arah lain.

Begitulah yang terjadi, dengan kuasa Allah tembakan dilepaskan itu gagal merosakkan jam antik milik Tok Imam Pulai Chondong.

Setelah gagal membunuh Tok Imam dan membidik jam antik itu, tiga orang askar Jepun itu beredar ke markas mereka dan tidak berani lagi datang ke rumah Tok Imam itu.

Kisah tentera Jepun yang hilang akal berdepan cucu Tok Pulai Chondong

NOTA : Kejadian di atas berlaku ketika awal pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Selepas mendarat di Kota Bharu pada 8 Disember 1941, tentera Jepun yang berbasikal dari Pantai Sabak terus menuju ke Kampung Pulai Chondong dan membina sebuah lapangan terbang di sebuah padang luas Labok, berhampiran rumah pusaka Allahyarham Tok Pulai Chondong.

Ketika kejadian, ayah Mohd Nor iaitu Haji Muhamad bin Mohd. Arshad merupakan imam di Masjid Tok Pulai Chondong. Mohd Nor ialah cicit kepada Haji Abdul Samad Faqih Abdullah yang lebih dikenali sebagai Tok Pulai Chondong. Ayahnya, Haji Muhamad mewarisi ketokohan arwah datuknya, Tok Pulai Chondong yang terkenal sebagai seorang ulama Melayu terkemuka di Nusantara. Tok Pulai Chondong antara pendakwah yang turut menyebarkan syiar Islam di Tanah Melayu ketika zaman pemerintahan Long Yunus (1762-1794). Allahyarham Tok Pulai Chondong meninggal dunia di Mekah pada tahun 1872 ketika berusia 82 tahun. Surau pertama yang dibina Tok Pulai Chondong terletak di Kampung Bilal Talib berhampiran sepokok pulai yang condong batangnya. Lantaran itulah beliau mendapat gelaran ‘Tok Pulai Chondong’.

Beberapa tahun lalu, Mastika pernah menemubual Mohd Nor yang menceritakan kisah di atas. Mohd Nor masih mendiami rumah moyangnya di Kampung Surau, Pulai Chondong bersama isteri dan anak-anaknya. Malah, Mohd Nor turut menunjukkan kepada Mastika kesan tembakan tentera Jepun di dinding berhampiran jam antik itu yang masih boleh dilihat walaupun sudah berpuluh tahun peristiwa itu berlaku.

Baca Lagi:

Rosmah Mansor berhati syaitan!, Fazley Yaakod dan isteri dedah perbuatan terkutuk buat ramai netizen terkejut!

Debaran tiga kes berprofil tinggi akan diketahui minggu pertama September ini

Datuk Seri Azalina Othman letak jawatan Penasihat Khas Undang-Undang PM

CATEGORIES