Kisah pilu mumia anjing yang terperangkap dalam batang pokok. Manusia telah wujud di muka bumi ini sejak ratusan ribu tahun yang lalu. Ada yang hilang tanpa sebarang jejak peradaban, manakala ada juga yang berjaya ditemui melalui penemuan sejarah. Walau bagaimanapun, masih banyak penemuan mengejutkan yang sukar difahami sehingga kini.
Pelik tetapi benar, sebuah muzium di Amerika Syarikat menyimpan sepotong kayu balak yang berfungsi sebagai ‘keranda’ bagi mumia seekor anjing, yang dipercayai mati sekitar 60 tahun lalu.
Ini adalah kisah pilu Stuckie, mumia anjing yang ditemui dalam keadaan yang menyeramkan. Perkongsian ini diceritakan oleh pemilik dan pengarah Muzium Southern Forest World, Bertha Dixon.
Seorang pembalak yang sedang memeriksa kayu balak di belakang lori terkejut apabila terlihat mumia seekor anjing di dalam salah satu potongan kayu balak. Aktiviti pembalakan pokok oak berangan itu dijalankan di sempadan Alabama-Georgia.
“Dulu, pada tahun 1980, pembalak di Georgia tidak mengangkut kayu balak secara menyeluruh. Mereka akan memotong pokok-pokok tersebut kepada beberapa bahagian, dengan setiap bahagian sepanjang tujuh kaki. Stuckie berada dalam salah satu bahagian itu.
“Kisah yang mengagumkan ini bukan sahaja mengenai Stuckie yang tersekat di dalam kayu balak dan terawet secara semula jadi. Keadaan Stuckie yang terselamat daripada kerosakan akibat pembalakan juga adalah satu kisah yang menakjubkan,” katanya.
Keadaan Stuckie yang tidak terusik langsung sepanjang proses, dari tumbangnya pokok tersebut sehingga potongan kayu balak dimuatkan ke dalam lori, sememangnya satu kejadian di luar kawalan manusia.
“Pertama, ketika pokok itu ditebang dan tumbang, (bangkai) anjing itu tidak rosak langsung. Kedua, Stuckie terselamat daripada dipotong apabila gergaji membelah batang pokok itu. Ketiga, apabila mereka mengangkat kayu balak itu ke atas lori, dia masih terselamat dari kerosakan.
“Bila anda memahami kekuatan dan tenaga yang terlibat ketika (pokok) tumbang, dipotong, dan dipindahkan, keadaan Stuckie yang tidak terusik sememangnya tak masuk akal. Keadaannya yang tidak terbelah langsung menjangkaui segalanya,” ujarnya lagi.
Menurut Dixon, jika dikira semula seberapa tinggi Stuckie berada di dalam pokok sebelum ia tumbang, dia mendapati Stuckie berada setinggi 28 kaki di atas pokok itu. Sebagai seorang yang mahir dalam bidang silvikultur, Dixon dapat mengenal pasti Stuckie sebagai seekor anjing buruan (hound dog) yang berwarna perang dan putih. Umur Stuckie dianggarkan sekitar empat tahun ketika dia mengejar seekor rakun hingga ke atas pokok.
Apa yang memilukan tentang kisah ini ialah keadaan Stuckie yang cuba keluar dari lubang pokok tersebut apabila tersekat di ruang yang sempit. Disebabkan gagal, Stuckie terperangkap di situ hingga ke akhir hayatnya. Menurut Dixon, bangkai Stuckie yang ada di dalam lubang itu diawet secara semula jadi oleh tanin pokok.
“Pokok oak mempunyai asid tanin yang terserap ke dalam anjing dan mengawetnya. Tambahan pula, bau bangkai yang mereput tidak keluar dari lubang kerana sifat lubang pokok yang bertindak seperti serombong, di mana angin bergerak dari bawah ke atas. Apa-apa binatang buas atau serangga yang biasanya memakan bangkai tidak dapat menghidu baunya,” jelasnya.
Begitulah kisah aneh mumia seekor anjing yang diberi nama Stuckie, yang masih tersimpan di sebuah muzium di Amerika Syarikat hingga ke hari ini.