Kisah benar sihir dihantar dari rakan kongsi

Photo of author

By Joe

Kisah benar sihir dihantar dari rakan kongsi. Maria seorang peniaga makanan. Dua puluh tahun yang lalu Maria dan suaminya,Halim berniaga nasi kukus di sebuah warung kecil berhampiran kawasan kilang.

Jalil adalah rakan kongsi dan rakan karib Halim. Bersahabat sejak di bangku sekolah. Disebabkan berminat dengan bidang perniagaan makanan,maka mereka merancang untuk berniaga ketika Maria hamil anak pertama.

Berkat kerajinan dan kesungguhan Halim dan Jalil sejak mereka muda,kini mereka sudah mempunya empat cawangan kedai makan sederhana besar bertemakan masakan kampung. Nasi kukus ayam berempah adalah menu utama di setiap cawangan mereka.

Kisah benar sihir dihantar dari rakan kongsi

Sehinggalah pada suatu hari Halim berbincang dengan Maria untuk membuka sebuah kedai makan kecil di kawasan rumah pangsa berdekatan taman perumahan mereka. Ketika ini mereka sudah memilik lima orang anak. Raisya,Hana,Mimie,Azim dan Thalia.

“Dua puluh tahun sudah ibu ke sana ke sini bantu ayah. Inilah masanya berehat,berniaga dekat dengan rumah. Biar abang dengan Jalil uruskan kedai makan yang lain,” Halim ingin isterinya dapat rehat yang cukup. Tak perlu lagi membantu di restoran yang jauh dari rumah.

“Boleh lah. Lagi pun warung tu tak besar mana pun. Nanti saya ajak kak Senah dengan anak bujangnya kerja sekali,”

Kak Senah adalah pengasuh anak-anak Maria sejak dulu. Kelebihan kak Senah adalah masakan kampung. Menu Pantai Timur.

Dipendekan cerita,maka beroperasilah kedai makan baru Halim dan Maria. Kali ini Halim tidak mengajak Jalil menjadi rakan kongsi disebabkan warung itu bukan lah besar sangat. Pelanggan pun tak ramai. Maria kendalikan warumg nasi ayam berempahnya bersama kak Senah dan Wafi.

Pada bulan pertama perniagaan warung Maria dari suam-suam kuku hinggalah menjadi semakin maju. Pekerja kilang yang menyewa rumah-rumah di kawasan itu sudah mulai suka dengan masakan Maria dan kak Senah. Sikap peramah Wafi sangat disenangi pelanggan yang datang setiap hari.

Pada suatu hari Jalil minta cuti sebulan kerana ada hal keluarga yang perlu diuruskan di Pantai Timur. Halim terpaksa membenarkan Jalil balik. Walau pun Halim tahu dia tak mampu uruskan semua kedai makannya tanpa Jalil.

Suatu pagi. Ketika anak-anak tidur lena dibuai mimpi, Maria terjaga. Hatinya berdebar tidak tahu apa sebabnya.

Jam di atas meja solek menunjukkan tepat jam 5 pagi. Maria bangun perlahan menuju ke ruang tamu.

Debaran di hati semakin kencang. Seperti ada sesuatu berlegar-legar di sekeliling rumahnya. Maria hanya melihat sekilas pandang seperti bayangan hitam bergerak-gerak.

Waktu begini Halim sudah pun ke pasar besar mencari bahan untuk perniagaan mereka. Ketiadaan Jalil membuatkan Halim bertambah sibuk.

Maria membuka pintu. Langit masih gelap bersama awan yang berkepul kehitaman. Nampaknya hujan bakal turun.

Seperti biasa Maria akan menyapu laman rumahnya sementara menunggu Halim balik dari pasar. Halim akan belikan sarapan untuk anak dan isterinya.

“Tanah apa ni?” Maria terkejut apabila kakinya terpijak tanah yang entah dari mana. Bertaburan di depan pintu. Dicarinya penyapu yang biasa disandarkan tepi pasu bunga.

“Telur? Ayam siapa pula bertelur tepi pintu ni?” Maria tersenyum sinis melihat ada telur ayam di kiri dan kanan pintu rumahnya. Baru dicapai sebiji,tiba-tiba ada bau yang kurang menyenangkan menerjah ke hidung Maria. Dia hampir nak muntah kerana bau yang sangat meloyakan.

Lalu diambil kedua-dua biji telur itu untuk dibuang ke luar pagar rumah. Telur pecah tembelang! Getus hatinya. Tangannya juga terasa masih melekat bau busuk yang menjijikan.

Maria terasa ingin muntah. Dipegangnya dada. Kemudian terus berlari ke dalam rumah tanpa menghiraukan kakinya yang kotor.

Ada sesuatu yang tersekat di kerongkong . Maria terbatuk-batuk di depan sink. Ditepuk dadanya berulang kali. Kepala mula terasa pening. Tapak kakinya bagai tertusuk duri.

“Kenapa,ibu? Batuk dari tadi macam teruk je,” Hana memang tak mampu lelapkan mata bila mendengar ibunya batuk kuat. Maria tidak mampu menjawab. Mukanya merah padam menahan sakit di kerongkong. Seperti ada pisau yang menghiris-hiris. Hana menepuk dari belakang.

“Ibu duduk dulu,kenapa batuk sampai teruk macam ni?” Hana cemas.

Pang!!! Satu tamparan melekat di pipi Hana. Mata Maria merah dengan berlinangan airmata menahan kesakitan. Dia menolak badan Hana.

Mendengarkan bunyi riuh di dapur, Raisya pula keluar dari bilik. Kelihatan Maria menjerit menghalau Hana. Bingung seketika. Apa yang terjadi?

“Kau pergi dari sini!! Aku panas lah!!!” Itulah yang Raisya dengar dengan jelas keluar dari mulut ibunya. Hana menangis sambil menahan sakit di pipi.

“Ya Allah,ibu tampar Hana? Kenapa ibu? Apa Hana dah buat sampai ibu marah macam ni?” Raisya menjerit.

Maria menggenggam kuat rambut Raisya,dia menjegilkan mata dengan wajah yang bengis.

“Kau diam! Aku sakit. Kau apa tahu!” Genggaman tangan Maria semakin kuat. Raisya menjerit meminta ibunya lepaskan dia. Hana juga ikut membantu meleraikan tangan Maria. Suara Maria semakin kasar. Batuknya semakin menjadi-jadi. Tubuh Hana ditolak lagi. Hana lari masuk ke bilik memanggil adiknya,Mimie.

Ketika Mimie berlari ke dapur hanya tinggal ibunya yang terbaring di atas lantai. Nafas Maria tersekat-sekat. Ketika membuka mata dengan payah,dia ternampak Mimie sedang menangis di sisinya. Ada bayangan hitam berdiri di belakang Mimie. Badan Mariah menggigil.

“Ibu,” Mimie memeluk Maria sekuat hati. D***h mengalir keluar dari mulut Maria.

Sejak pagi itu, Maria sudah tak mampu keluar berniaga seperti selalu. Badannya bagaikan dicucuk jarum. Seleranya hilang. Kepala sentiasa sakit bagaikan ditumbuk-tumbuk. Bila ceritakan keadaan dia pada Halim dan anak-anak, cuma Mimie yang mahu mempercayainya.

“Ibu penat sangat ni. Kalau tak sanggup buat, kita tutup la warung baru tu. Daripada ibu sakit macam ni,” Halim mulai rasa bersalah kerana biarkan isterinya bersusah-payah untuk membantu keluarga.

“Sampai anak-anak jadi tempat ibu lepaskan kemarahan. Cubalah ibu luahkan elok-elok,tak perlu lah baran macam ni. Kesian anak-anak jadi mangsa,” Halim benar-benar menyesal bila biarkan Maria tertekan.

Maria hanya mampu menagis. Halim tak percaya apa yang dia luahkan. Dia tak dapat kawal diri ketika berkasar dengan anak-anaknya. Halim,Raisya dan Hana langsung tak percaya cakap Maria.

Seorang demi seorang keluar dari biliknya. Meninggalkan Maria bersama hati yang terguris dalam. Maria pasrah.

Suatu malam terjaga dari tidur, Maria cuba bangun untuk mencari air mineral. Tekaknya haus.

Arghhhhh!!!! Satu bayangan hitam bermata merah menyergah dari bawah katil. Maria menjerit sekuat hati.

Raisya memandang wajah Hana. Hana lemparkan pandangan ke luar rumah. Sambil berkata,”Kak Long pergilah. Ibu bukan suka dengan Angah,”

Raisya mencampak bantal ke arah Hana. Kemudian dia keluar mencari Mimie. Mimie yang baru balik dari kedai runcit terkejut mendengar jeritan Maria. Terus berlari ke arah bilik ibunya.

Ketika pintu terbuka. Mimie lihat Maria sedang meronta-ronta seperti dicekik sesuatu. Dengan pantas dia memeluk tubuh Maria dari belakang. Seperti ada satu tenaga kuat sedang menarik ibunya.

“Jangan kacau ibu aku!!!!” Mimie menjerit sekuat hati. Tubuh Maria tercampak dan menghempap tubuh kecil Mimie. Mereka berpelukan ketakutan.

“Mimie ada, ibu.,” Mimie mengusap bahu Maria. Nafas Maria berubah menjadi laju. Dia memalingkan mukanya ke belakang. Mimie lihat wajah Maria berubah menjadi pucat dan bermata merah.

“Mengucap,ibu!” Mimie merayu sambil membaca surah tiga Qul. Ada sesuatu yang menguasai tubuh Maria,itu yang terlintas di kepala Mimie.

Mujurlah ketika itu Halim balik menghantar makanan untuk anak isterinya. Halim leraikan Maria dengan Mimie. Kekuatan Maria memang seperti tenaga seorang lelaki berbadan sasa.

Hari berganti hari keadaan Maria semakin parah. Dia selalu ternampak bayang hitam bermata merah berlegar-legar di dalam bilik. Tidurnya tak pernah lena, bunyi cakaran di setiap sudut dinding. Ada kalanya bunyi orang bercakap dalam bahasa yang dia tak faham. Katil kerap digoncang.

Sudah berulang kali ke klinik dan hospital, namun dokter tidak dapat mengesan penyakit Maria berpunca dari apa. Halim pula tak banyak masa menemani Maria. Ada ketikanya Maria nampak makanan penuh dengan cacing dan langau. Pernah dia membalingkan makanan ke arah Halim.

“Apa nak jadi lah dengan ibu ni. Memberontak je tahunya!” Halim semakin hilang sabar dengan perangai Maria. Anak-anak juga mula menjauhkan diri.

Suatu malam ketika Mimie masak bubur nasi untuk Maria,ada bunyi benda jatuh dia atas bumbung rumah. Mimie memandang sekeliling. Ada bau bangkai yang menyengat hidung. Terdengar jeritan Maria dari biliknya. Mimie padamkan api dapur dan terus berlari mendapatkan ibunya.

“Pergi!!! Jangan b***h aku!!!” Maria mencampakkan barang ke kipas. Mimie cuba menenangkan. Dipegang kedua-dua lengan Maria. Tapi kekuatan badannya tak mampu menahan rontaan Maria.

Maria menunjuk ke atas kipas sambil menjerit, “jangan b***h akuuuu…” perkataan itu diulang-ulang. Mimie memandang ke atas,kelihatan kepala dan badan paras pinggang sahaja sedang menyeringai berbaring di atas kipas. Ada pisau di dalam tangannya. Sesekali lidahnya terjelir sambil menjilat pisau yang penuh dengan d***h. Dihiris badannya..kemudian dijilat lagi d***h yang meleleh. Terasa loya tekak Mimie melihat keadaan iblis yang mengganggu Maria.

Maria menjerit histeria sehingga didatangi jiran sebelah rumah. Raisya membuka pintu bilik. Melihatkan keadaan Maria yang separuh histeria itu Raisya menarik dua adik kecilnya berlari ke bilik sebelah. Jiran yang datang menjenguk adalah Haji Abu dan isterinya Hajah Ulya.

“Tolong tengokkan ibu, tolong lah…,”Hana merayu Hajah ulya yang terpinga-pinga di depan pintu bilik.

Haji Abu membaca ayat Kursi. Setelah selesai dia menyapukan tangan ke muka dan kemudian melangkah masuk ke bilik Maria. Lengan Hajah Ulya dicuit agar masuk bersamanya.

“Allahuakhbar. Maria!” Hajah Ulya berlari mententeramkan Maria yang meronta-ronta minta dilepaskan oleh Mimie. Maria memandang tajam ke wajah Hajah Ulya. Suara seperti anjing mendengus keluar dari mulut Maria. Mimie dan Hajah Ulya berasa seram. Mimie memeluk kuat pinggang ibunya. Maria seperti hendak menerkam ke.arah Hajah Ulya dengan mulut yang ternganga luas.

Halim terpacul di depan pintu. Terus ditarik Maria sekuat hati.

“Kenapa Halim biarkan Maria sampai jadi macam ni? Berapa lama Maria sakit ni?” Haji Abu bertanya.

“Dua minggu. Mimie dengan ibu je nampak benda tu. Ayah dengan kakak-kakak semua tak percaya,” Mimie menangis melihat keadaan Maria yang tidak terurus. Hancur hatinya bila Halim cakap ibunya sudah gila. Sedangkan dia tahu ada sesuatu yang tidak kena.

“Isteri kamu kena khianat ni! Keluarga kamu tak disenangi orang. Aku tak tahu siapa. Tapi aku dapat rasa dalam rumah kau ni ada benda kotor yang orang hantar. Maria jadi mangsa sihir,” Halim terduduk di sisi Maria dan Mimie. Serta-merta airmatanya mengalir.

“Halim, kau bawa anak isteri kau pindah dari sini. Untuk sementara waktu ni aku panggil kawan-kawan cuba bersihkan benda kotor yang ada dalam rumah kamu. Jangan tunggu lagi. Sebelum Maria lebih tenat dari sekarang,baik kamu bawa dia pergi ke tempat lain,” Haji Abu membaca sesuatu sambil memandang sekeliling.

Keadaan Maria semakin reda. Dia terkulai kerana merasa tubuhnya sangat sakit. Pelukan Halim dan Mimie membuatkan dia rasa lebih tenang.

Seminggu berlalu. Mereka berpindah ke rumah pangsa berdekatan warung Maria. Keadaan Maria masih lemah dan tak mampu lakukan apa-apa.

Halim telah serahkan warung itu kepada kak Senah,suaminya Pak Awe dan Wafi. Biarlah mereka mendapat rezeki di situ.

Sudah bertambah pula menu nasi kerabu kesukaan Maria dan anak-anak.

Halim teringat kembali kata-kata dari Haji Abu. Ada orang sakit hati melihat mereka menambah kedai baru. Sepatutnya benda itu mahu menjerat Halim. Tapi disebabkan Halim tak balik ke rumah kerana sibuk membersihkan kawasan kedai di Puchong, lalu santau yang diadun bersama dengan abu tulang khinzir, tanah kubur dan telur tembelang yang diletak kiri kanan pintu rumahnya tidak mengena mangsa yang dituju.

Halim berserah sepenuhnya kepada Sang Pencipta. Dia mula pasrah bila Haji Abu memberitahunya orang yang menghantar sihir adalah rakan karibnya, Jalil. Terduduk Halim diatas lantai. Pada mulanya Halim sukar menerima kenyataan. Tak mungkin Jalil sejahat itu. Mereka setiap hari berhubung ketika Jalil balik kampung. Terlalu mengambil berat pada keluarganya.

Telefon pintar berbunyi. Tertera nama Jalil pada skrin. Halim laju menjawab.

“Abang Halim. Noor isteri Jalil ni. Buat masa ini Jalil tak balik ke sana ye, bang. Hari-hari dia meracau menjerit kata ada orang nak b***h dia. Petang tadi dia lari ke luar rumah, kena langgar motor foodpanda….,” terputus seketika suara Noorbaiti. “Jalil kata ada benda kejar dia, kami tak nampak apa pun,”

“Baiklah, Noor. Jaga Jalil baik-baik,” Halim tak tahu apakah ada kaitan semua ini. Bila mengingat kembali perbuatan orang yang menghantar sihir, dia mula rasa simpati pada Maria. Setelah perit jerih selama dua puluh tahun menemaninya, sakit yang Maria dapat.

“Jalil dah tak macam dulu, bang Halim. Kakinya patah. Dia dah hilang ingatan. Macam orang gila. Halalkan apa yang Jalil termakan dan terambil. Maafkan Jalil kalau dia ada buat salah selama ini,” terngiang-ngiang lagi suara Noorbaiti.

Halim telah menghalalkan semuanya dan memaafkan apa yang Jalil lakukan pada keluarganya.

Siapa kita untuk menghukum sesama manusia. Halim cuma berharap Maria cepat sembuh setelah mengalami pelbagai gangguan. Terbit rasa menyesal kerana tidak mempercayai Maria, sedangkan itulah wanita yang banyak berkorban untuk dia dan anak-anak.

Sekian lah cerita dari 🐼 untuk kali ini. Kisah benar ini terpaksa panda olah semula nama setiap watak. Sdeamat membaca.

Baca Lagi:
Sektor kesihatan Malaysia di ‘zon merah’, doktor wanita luah perkara sebenar yang berlaku
Orang ramai tidak perlu lagi bawa lesen memandu secara fizikal – JPJ
Bekas jurubank Najib dedah ‘bukan orang Arab, tapi orang Cina Malaysia yang masukkan wang ke akaun Najib’