Kibar bendera Malaysia di flat Singapura boleh didenda RM1,681, penjara 6 bulan. Penghuni blok kediaman milik Lembaga Pembangunan dan Perumahan (HDB) di Singapura akan didenda sebanyak SG$500 (RM1,681) jika didapati memiliki bendera Malaysia yang digantung di bangunan flat berkenaan, lapor portal berita MSNews hari ini.
Dalam satu tulisan di platform Reddit yang dimuat naik semalam, bendera Malaysia kelihatan tergantung di luar unit HDB di tingkat bawah.
Disiarkan dengan kapsyen: “Raikan bersama?”, foto tersebut menunjukkan unit HDB yang kelihatan memaparkan bendera Singapura dan Malaysia.
Netizen meluahkan kebimbangan mereka terhadap insiden tersebut, dan ada yang menjadikannya sebagai bahan gurauan.
Seperti yang diketahui, Hari Kebangsaan Malaysia jatuh pada 31 Ogos, kira-kira tiga minggu selepas Hari Kebangsaan Singapura yang disambut pada 9 Ogos.
Menurut Akta Lambang Negara Asing 1949, mempamerkan lambang asing, termasuk bendera, adalah dilarang sama sekali di Singapura.
Individu yang mempamerkan lambang asing boleh dikenakan denda sehingga SG$500, penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.