Khabib pelawa Jojo datang ke Dagestan untuk berguru dengannya. Legenda UFC dunia, Khabib Nurmagomedov tidak meragui kemampuan jaguh muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar, untuk mencipta nama dalam arena seni bela diri campuran (MMA).
Khabib juga mengalu-alukan kedatangan Johan, yang lebih dikenali sebagai Jojo, ke Dagestan, Rusia, sekiranya dia ingin berlatih bersama untuk mendalami ilmu MMA.
Dalam sidang media selepas acara ‘Khabib Nurmagomedov LIVE in Malaysia 2024’, Khabib turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Jojo dalam karier muay thainya.
“Saya baru saja bertemu dengannya di belakang pentas. Saya tahu dia masih muda dan seorang lawan yang baik. Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepadanya,” kata Khabib.
“Dia (Jojo) ada memberitahu saya bahawa di masa hadapan, dia ingin terbabit dalam MMA.
“Saya sentiasa mengalu-alukan kehadirannya jika dia ingin belajar bersama saya di Dagestan di pusat latihan kami,” kata Khabib, yang kini sedang melatih Islam Makhachev, juara baharu kelas lightweight.
Dalam pada itu, Khabib juga tidak menolak kemungkinan untuk membuka pusat latihan di Malaysia dan pernah memikirkan tentang rancangan tersebut dengan membawa jurulatih terbaik bagi membangunkan sukan MMA di sini.
Memegang rekod sebagai juara kelas lightweight Ultimate Fighting Championship (UFC) yang tidak pernah kalah pada 2021 dengan rekod 29-0, Khabib akan berkunjung ke Indonesia untuk rancangan temu bual “The Path of a Champion.”