Ketagih main game PUBG, ibu 6 anak akhirnya jadi janda. Gara-gara ketagih bermain permainan video dalam talian, Player Unknown’s Battlegrounds atau PUBG, ibu kepada enam anak itu akhirnya diceraikan oleh suaminya.
Kisah tersebut diceritakan semula oleh adik kepada wanita tersebut menerusi satu tangkap layar kiriman mesej yang tular di Twitter baru-baru ini.
Katanya, setiap hari hidup kakaknya dihabiskan untuk bermainan PUBG selain gemar membuat penstriman langsung bagi meraih ‘hadiah’ daripada pengikut serta penonton sehinggakan tidak mempedulikan keadaan rumah termasuklah keperluan suami dan anak-anak.
“Jadi dekat kakak aku sendiri sampai cerai-berai. Kakak aku itu dah ada enam anak, kahwin awal. Terjebak dengan PUBG masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), sejak itu dia terus gila game (permainan video),” kongsi individu tanpa nama itu.
Katanya lagi, perniagaan kakaknya juga sudah tidak berjaya kerana terlalu fokus bermain permainan video dalam talian itu.
“Bisnes hancur, kereta mewah pun digadai sebab fokus hanya pada game, memang betul-betul melalaikan sampai anak-anak dia pun mak ayah (ibu bapa) aku yang jaga sebab terlalu terabai.
“Bila orang tegur dia kata hanya content (bahan video), nak cari duit. Kalau buat live di TikTok selalu dapat ‘gift’. Suami tegur pun jadi gaduh, bergelut depan anak-anak sampai mereka trauma. Sekarang dah bercerai.
“Anak-anak mereka mak ayah aku yang jagakan sekarang. Cuma aku selalu doa kakak aku berubah dan sekarang macam kurang sikit game dia, dah ingat anak-anak, tak teruk macam dulu,” katanya.
Individu itu sempat menitipkan pesanan kepada orang ramai agar tidak terlalu taksub bermainan permainan video sehingga mengabaikan tanggungjawan diri.