Kes rompak kedai emas bernilai RM3.2 juta di Kajang, suspek maut ditembak. Polis telah menembak mati seorang penjenayah yang dipercayai terlibat dalam kes samun barangan kemas bernilai dianggarkan RM3.2 juta di sebuah pusat beli-belah pada 17 Jun lalu.
Kejadian berlaku sekitar pukul 3 petang apabila pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman sedang melakukan rondaan dan menahan sebuah kereta jenis Perodua di susur masuk Tol Sungai Balak, Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata bahawa suspek enggan berhenti dan telah melepaskan tembakan ke arah pihak polis.
“Pihak polis membalas tembakan dan suspek dipercayai mati akibat tembakan dalam kejadian tersebut. Dalam insiden ini juga, seorang anggota polis telah terkena tembakan,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menjelaskan bahawa semakan mendapati suspek lelaki tempatan berusia pertengahan 30-an itu mempunyai enam rekod jenayah samun.
“Suspek dipercayai juga terlibat dalam kejadian samun di sebuah kedai di Plaza Metro Kajang beberapa bulan yang lalu,” tambah beliau.
Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Pada 17 Jun lalu, Kosmo! melaporkan berlaku kejadian samun barangan kemas bernilai dianggarkan RM3.2 juta di sebuah pusat beli-belah di sini.
Empat lelaki berpakaian seperti pengawal keselamatan telah merompak kedai emas tersebut sebelum melarikan diri melalui tempat letak kenderaan di bawah pusat beli-belah berkenaan.