Kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta – KJ

khairy jamaluddin4 11 e1648435938708

Kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta – KJ.

Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada mana-mana syarikat swasta.

Selain itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata kementerian menegaskan bahawa data MySejahtera adalah di bawah penyeliaan kementerian tersebut sejak ia mula digunakan.

Jelas beliau, segala pengurusan data akan melalui proses tadbir urus data yang telah ditetapkan oleh KKM.

“Dalam hal ini, penggunaan dan pengurusan data MySejahtera perlu mematuhi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), Akta Perubatan 1971 dan piawaian antarabangsa.

“Sehubungan itu, data MySejahtera tidak boleh dikongsi oleh KKM dengan mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.

“Selain itu, transaksi data daripada aplikasi MySejahtera dimuat naik ke jaringan pelayan awan (cloud server network) setiap hari dan hanya boleh diakses untuk kegunaaan aplikasi MySejahtera sahaja.

“KKM berharap orang ramai akan terus menggunakan aplikasi MySejehtera tanpa ragu-ragu. Kerahsiaan data orang ramai adalah terjamin dan KKM akan sentiasa memastikan aspek ini tidak dikompromi,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Ahad.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan melakukan penjualan aplikasi MySejahtera kepada sebuah syarikat swasta, seperti dilaporkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Dalam laporan itu, keputusan penjualan tersebut dibuat oleh Kabinet pada 26 November 2021 serta membenarkan KKM melantik MySJ Sdn. Bhd. melalui mekanisme rundingan terus untuk mengambil alih aplikasi MySejahtera.

Mengulas lanjut, Khairy berkata pihak kerajaan telah memutuskan bahawa aplikasi MySejahtera adalah hak milik kerajaan dan KKM dilantik sebagai pemilik utama aplikasi tersebut untuk pengurusan kesihatan awam negara.

Kerajaan tidak pernah menjual aplikasi MySejahtera kepada syarikat swasta - KJ

Selain itu, tambahnya kerajaan tidak pernah membuat sebarang bayaran kepada syarikat KPISOFT (M) Sdn. Bhd (KPISOFT), yang telah membangunkan aplikasi MySejahtera sepanjang tempoh penggunaan aplikasi tersebut dari 27 Mac 2020 hingga 31 Mac 2021.

“Perkara ini adalah berdasarkan ketetapan syarikat yang telah menawarkan penggunaaan aplikasi MySejahtera kepada kerajaan untuk tempoh setahun tanpa sebarang bayaran berdasarkan prinsip Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat.

“Setelah tamat tempoh CSR tersebut, kerajaan pada 31 Mac 2021, bersetuju supaya perkhidmatan MySejahtera diteruskan. Aplikasi MySejahtera diguna pakai kerana keteguhan dan keupayaan dinamik teknologinya.

“Sehubungan itu, kerajaan meneruskan kerjasama dengan pihak syarikat dalam melaksanakan peningkatan fungsi MySejahtera sehingga apa yang digunakan pada hari ini,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Khairy berkata keputusan kerajaan pada 26 November 2021 turut menetapkan supaya KKM menubuhkan Jawatankuasa Rundingan Harga dengan keahlian yang terdiri daripada agensi pemegang taruh berkaitan.

Ia bagi melaksanakan rundingan harga perolehan dan pengurusan perkhidmatan aplikasi MySejahtera dengan pihak syarikat untuk tempoh dua tahun, selaras dengan tatacara perolehan kerajaan, katanya.

“Skop perolehan dan pengurusan aplikasi MySejahtera antaranya merangkumi pengoperasian platform MySejahtera, pembangunan sistem termasuk pembangunan modul tambahan, penyelenggaraan, pengurusan pusat data dan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak ketiga yang meliputi langganan ke atas perkhidmatan Google Map and Places Application Programming Interface (API) dan perkhidmatan Short Messaging Service (SMS).

“Seterusnya Kementerian Kewangan, melalui surat bertarikh 28 Februari 2022, bersetuju meluluskan permohonan KKM untuk melaksanakan perolehan bagi pengurusan aplikasi MySejahtera dan dimuktamadkan di peringkat Kementerian Kewangan.

“Proses rundingan ini telah dimulakan dan KKM akan memastikan due diligence (langkah yang wajar) dilakukan bagi memelihara kepentingan kerajaan,” jelas Khairy.

Baca Lagi:

JAIS gantung tugas guru KAFA tolak vaksin

Sabri Yunus dipuji, drama ‘Pok Ya Cong Codei’ kini trending boleh masuk Netflix Siries

2 artis Malaysia berdepan hukuman gantung sampai mati

Leave a Reply

Your email address will not be published.