‘Kepala beruk’ jadi rebutan orang ramai di Kuala Berang. Permintaan tinggi terhadap ‘kepala beruk’ mendorong seorang penduduk perkampungan Orang Asli Sungai Berua untuk berulang-alik ke hutan bagi mendapatkan tumbuhan tersebut.
Alias Pelong, 59, berkata jualan tumbuhan hutan yang juga dikenali sebagai ‘sarang semut’, yang hidup liar dan menumpang pada pokok hutan lain, membolehkannya memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sebulan.
Beliau berkata, pokok ‘kepala beruk’ yang digunakan dalam perubatan tradisional mendapat permintaan tinggi di kalangan pembeli di Jeli, Kelantan, sejak 10 tahun lalu.
Katanya, tumbuhan ini biasanya hidup menumpang pada pokok besar seperti neram, meranti, dan seraya, namun untuk mendapatkannya bukanlah sesuatu yang mudah kerana perlu memanjat pokok-pokok tersebut.
“Kepala beruk yang diperoleh akan diikat dan diturunkan menggunakan tali kerana tumbuhan tumpang ini mudah pecah jika tidak dikendalikan dengan berhati-hati.
“Apabila saya pergi ke hutan, kadangkala saya hanya dapat satu atau dua kepala beruk saja, yang kemudian saya kumpulkan sehingga beratnya mencecah 100 hingga 200 kilogram (kg).
“Tumbuhan ini tidak boleh disimpan lama kerana ia mudah reput. Jika jumlah berat kepala beruk yang diinginkan sudah mencukupi, saya akan menjualnya kepada pembeli.
“Bagi setiap kilogram kepala beruk, harganya dijual antara RM5 hingga RM6. Jadi, saya perlu mengumpulkan kuantiti yang banyak sebelum menghantarnya kepada pembeli di Jeli,” katanya.
Alias berkata, dalam tempoh seminggu, dia mampu mengumpul antara 200 hingga 300 kilogram kepala beruk dengan bantuan ahli keluarganya.
Katanya, tumbuhan ini mudah diperoleh di atas pokok yang terletak berhampiran sungai, tetapi agak sukar untuk dibawa pulang dalam jumlah yang banyak kerana saiz dan beratnya yang besar.
“Selagi kudrat masih ada, saya akan terus mencari kepala beruk kerana permintaan tidak pernah putus sejak saya mula mengumpul hasil hutan ini.
“Disebabkan ia hanya boleh diperoleh di hutan dan sukar untuk didapati, saya tidak mempunyai saingan dalam bidang ini kerana sudah mempunyai pembeli tetap,” katanya.