Kenapa semua lori tangki minyak berbentuk silinder?, ini sebabnya yang ramai tak tahu. Lori tangki minyak sering dilihat di jalan raya dan kadang-kadang menyebabkan rasa ‘seram’ apabila kita berselisih atau dipotong olehnya, bukan?
Selain dari saiznya yang besar, lambang ‘mudah terbakar’ yang melekat pada lori tangki ini turut membuatkan kita membayangkan kemungkinan insiden yang boleh terjadi.
Namun, pernahkah kita terfikir mengapa semua tangki minyak yang diangkut selalu berbentuk silinder? Mengapa tidak ada yang berbentuk kiub atau segi tiga?
Di sini, kami ingin berkongsi beberapa maklumat menarik mengenai lori tangki minyak untuk menjawab soalan-soalan ini.
Mengapa bentuk tangki minyak selalu silinder, bukan segi empat?
Menurut portal Science ABC, bentuk silinder adalah bentuk yang kuat, stabil, dan tidak mempunyai titik lemah yang memerlukan kekuatan tambahan.
Bentuk seperti segi empat tepat atau segi empat sama mempunyai sudut-sudut yang rata yang menjadi titik lemah ketika terkena tekanan.
Dengan kata lain, bentuk-bentuk selain silinder lebih mudah rosak atau gagal apabila terdedah kepada tekanan yang tinggi.
Konsep yang sama juga terdapat pada tingkap kabin pesawat yang berbentuk bulat, bukan berbentuk segi empat, untuk menahan tekanan.
Bentuk sfera adalah bentuk yang terbaik untuk menyimpan cecair kerana bentuk ini membolehkan isipadu maksimum untuk setiap permukaan kawasan.
Walau bagaimanapun, sfera tidak praktikal untuk diangkut. Oleh itu, bentuk sfera yang dipanjangkan atau lebih dikenali sebagai silinder digunakan sebagai tangki minyak.
Kestabilan lori tangki minyak berbentuk silinder
Selain itu, faktor kestabilan lori tangki minyak semasa mengangkut cecair seperti minyak dan gas yang mudah terbakar adalah penting. Untuk mengurangkan risiko ini, lori tangki dibina dengan pusat graviti yang rendah.
Oleh itu, bentuk tangki juga perlu mempunyai titik graviti serendah mungkin untuk kestabilan dengan tanah.
Dalam hal ini, bentuk segi empat tepat dan segi empat sama kurang ideal kerana titik gravitinya lebih tinggi berbanding dengan bentuk silinder.
Mengurangkan impak pergerakan cecair semasa lori tangki bergerak
Selain itu, struktur silinder juga dapat mengurangkan impak pergerakan cecair semasa lori tangki bergerak atau mengambil brek.
Ini kerana impak yang kuat daripada situasi-situasi tersebut boleh menyebabkan lori terbalik semasa melalui selekoh atau mengambil brek secara tiba-tiba.
Oleh itu, setiap lori tangki dilengkapi dengan kepingan logam di dalamnya untuk mengurangkan impak pergerakan cecair.
Pengekstrakan minyak dan penyelenggaraan lebih mudah dengan struktur silinder.
Selain itu, struktur silinder dikatakan lebih memudahkan proses pengekstrakan cecair yang disimpan kerana membolehkan cecair tersebut mengalir ke bahagian bawah tangki dengan lebih lancar.
Lori tangki berbentuk segi empat juga lebih sukar untuk dibersihkan berbanding dengan lori berbentuk silinder.
Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, bentuk segi empat dengan sudut penjuru cenderung untuk menyimpan lebih banyak sisa cecair di kawasan tersebut.
Keadaan ini akan memerlukan lebih banyak masa dan kos penyelenggaraan berbanding dengan bentuk silinder.