Kenali Maimunah wanita pertama dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur

Photo of author

By Joe

Kenali Maimunah wanita pertama dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur. Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa mulai esok (15 Ogos) bagi menggantikan Datuk Kamarulzaman Mat Salleh yang bersara wajib.

Pelantikan ini mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan selaras dengan Subseksyen 4 (2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Maimunah merupakan individu yang bertanggungjawab mengembalikan kedudukan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan, dengan pengalaman 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar, dan pembangunan yang diterajui komuniti.

Kenali Maimunah wanita pertama dilantik Datuk Bandar Kuala Lumpur

Beliau berkata Maimunah, 63 tahun, pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Setiausaha Agung mengenai Bandar Masa Depan dan Pengerusi Bersama Gabungan 2030 Kerajaan Tempatan. Kini, beliau dilantik sebagai penasihat kepada Majlis Antarabangsa Inisiatif Alam Sekitar Tempatan (ICLEI).

“Saya percaya dengan pelantikan ini, beliau akan dapat meneruskan kesinambungan pengalaman dan sumbangan beliau untuk memimpin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan penuh integriti. Ini bagi memastikan kemampanan pembangunan, kecemerlangan, dan kegemilangan berterusan ke arah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang maju dan sejahtera,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zaliha berkata Maimunah juga telah menerima pelbagai pengiktirafan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, seperti pengiktirafan sebagai Tokoh Perancang Bandar Malaysia oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan; Ahli Kehormat Royal Town Planner’s Institute, United Kingdom; Felo Kehormat, United Cities of Local Government (UCLG); dan Ambassador of His Majesty King Charles III (King’s Foundation) dalam perbandaran mampan di negara-negara Komanwel.

“Beliau juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Alam Bina dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” katanya.

Maimunah juga pernah menyandang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif UN-Habitat yang berpusat di Nairobi, Kenya selama enam tahun, menjadikannya wanita Asia pertama yang memegang jawatan tersebut.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, serta pernah menjadi Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA).

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains (Perancangan Bandar) dari University of Wales Institute of Science and Technology, United Kingdom, sebelum melanjutkan pengajian dengan Ijazah Sarjana Sains (Perancangan Bandar) di Universiti Sains Malaysia.

Zaliha turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kamarulzaman atas segala sumbangan dan kepimpinan beliau sepanjang menjawat jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Baca Lagi:
Makan percuma lebih 20 buah restoran, lelaki ini guna alasan sakit jantung
Kereta buatan China ‘hamil’ raih perhatian ramai
10 tahun dilapor hilang, rupanya lelaki ini mati terperangkap belakang peti ais