Kejam! Wanita bersalin dalam keadaan kaki tangan dirantai

Kejam! Wanita bersalin dalam keadaan kaki tangan dirantai

Kejam! Wanita bersalin dalam keadaan kaki tangan dirantai. “Dalam sel yang gelap dengan kaki serta tangan diikat pada kerusi, rejim Zionis berterusan memukul, memeras, menghina dan mengancam menggugurkan kandungan saya.”

Itu pengalaman perit wanita Palestin, Samar Ibrahim Sbaih, 40, ketika mengandungkan bayi sulung di penjara bawah tanah, malah tentera Israel melucutkan segala yang ada pada badan termasuk jam tangan menyebabkan beliau tidak tahu sama ada siang atau malam.

Beliau yang berada di negara ini sempena Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (IPCKL) di sini baru-baru ini, berkata tangan dan kakinya terus diikat dengan rantai besi pada katil ketika mahu melahirkan anak lelakinya itu.

Kejam! Wanita bersalin dalam keadaan kaki tangan dirantai

Menurut Samar yang kini menetap di Istanbul, Turkiye, beliau ditahan pada 29 September 2005 di Semenanjung Gaza atas tuduhan menyertai aktivis dan dipenjarakan dua tahun lapan bulan tanpa perbicaraan.

Jelas Samar, saat mahu bersalin beliau ditempatkan di bilik sebuah hospital dengan tangan dan kaki diikat dengan rantai besi pada katil.

“Bilik pembedahan bersalin ini dikawal ketat pengawal lelaki dan wanita. Seorang doktor Israel menghina saya dengan melabelkan saya seorang pengganas dan bakal melahirkan seorang pengganas

“Tiba saat untuk dibius, doktor mahu meletakkan topeng bius namun saya menanggalkannya dan meminta supaya bius tulang belakang.

“Walaupun sedar ini sangat menyakitkan dan mempunyai banyak komplikasi, saya nekad kerana bimbang sekiranya penjenayah ini akan mengapa-apakan anak saya ketika saya tidak sedar,” katanya.

Menurut Samar, beliau tidak dibenarkan menyentuh atau mencium bayinya, sebaliknya bayi terus dibawa ke taska hospital.

“Mereka meletakkan saya di dalam bilik selepas bersalin dan mengikat tangan serta kaki saya ke katil. Bilik gelap, dikawal rapi oleh warden wanita, malah mereka tidak memberikan ubat atau rawatan sewajarnya,” katanya.

Tambahnya, seminggu selepas bersalin mereka membawanya ke kembali ke penjara dan banduan lain menyambutnya dengan tangisan kegembiraan.

“Anak saya, Bara’a dilayan seperti banduan lain. Mereka menghalangnya daripada terdedah kepada udara segar, matahari atau mendapat permainan.

“Mereka membawa lampin yang tidak sesuai dengan saiz dan beratnya malah ia sering berkulat di bahagian dalam sehingga Bara’a mengalami ruam yang tidak dapat saya rawat.

“Sepanjang lebih dua tahun dipenjarakan, Bara’a tidak dimandikan dengan sempurna. Dia hanya dimandi di lantai penjara tanpa sabun atau syampu,” katanya.

Akibat dibesarkan di dalam penjara Zionis, Bara’a sukar beradaptasi dengan dunia luar selepas dibebaskan.

Menurut Samar, anaknya kini berusia 16 tahun dan mereka kini tinggal di Istanbul kerana tidak dibenarkan masuk ke Palestin.

Menurutnya, ketika dibesarkan di penjara, anaknya dilayan seperti banduan dewasa lain yang mana tidak diberi ruang untuk bermain atau diberikan permainan.

“Dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan orang lain kerana dipisahkan daripada keluarga selama dua tahun dalam penjara.

“Imej gari, kunci, dan rantai besi masih ada dalam imaginasi anak saya. Dia cenderung untuk menutup pintu yang terbuka dan meninggalkan mainan, lebih suka bermain dengan kunci,” katanya.

Di sebalik detik hitam dilalui, wanita tabah ini berkata, beliau keluar dari penjara namun kebebasannya tidak lengkap kerana meninggalkan berpuluh-puluh banduan wanita di belakang tirai besi.

“Bara’a melihat cahaya untuk pertama kali dalam hidupnya apabila kami keluar dari penjara. Bara’a terus menjerit apabila rakyat Palestin menyambut kami,” katanya.

Samar yang dibebaskan pada 17 Disember 2007 berkata, pengalamannya itu adalah gambaran jenayah pendudukan terhadapnya dan hak wanita Palestin.

“Ia bercanggah dengan Perkara Lima Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, dan mengingkari Konvensyen Menentang Penyeksaan dan Perkara (91) Konvensyen Geneva.

“Semua ini bertentangan dengan empat Konvensyen Geneva 1949 dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Pendudukan Zionis tidak mematuhi peraturan hak banduan lelaki dan wanita serta keadaan mereka, dan tidak memelihara maruah manusia dalam menerima penjagaan kesihatan yang diperlukan,” katanya.

Jelas Samar, di sebalik semua penangkapan berterusan dalam kalangan wanita Palestin, golongan itu masih gagah menulis mengenai kisah kepahlawanan dan kecekalan yang paling indah.

“Kami berdiri di samping lelaki dengan penuh maruah dan bangga dalam menghadapi penjajah yang merampas tanah air kami,” katanya.

Baca Lagi:
KJ sekeluarga payung main gitar lagu raya versi rancak dan rock
Pegawai Khas Hannah Yeoh letak jawatan
Lelaki dedah kenapa jangan ambil duit kalau jumpa di tempat ini
CATEGORIES