Kecoh buaya gergasi muncul di Tasik Shah Alam. Pengunjung sekitar Tasik Shah Alam, Seksyen 7, diingatkan supaya tidak mendekati kawasan di tebing tasik selepas kemunculan seekor buaya di kawasan tersebut.
Kehadiran reptilia yang dianggarkan sepanjang lebih satu meter ini telah disahkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Selangor semalam.
Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Azhar Sharif, berkata bahawa Jabatan Kesihatan Persekitaran MBSA dan Perhilitan Selangor telah memantau kawasan tasik sekali lagi dan mendapati buaya tersebut masih berada di situ.
“Berkemungkinan buaya tersebut tersesat semasa hujan lebat dan banjir kilat baru-baru ini.”
“Kita telah memasang pita keselamatan di sekitar tebing tasik. Jadi, sebelum arahan penutupan rasmi diumumkan, MBSA menasihatkan orang ramai untuk menjauhi tebing tasik,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa Perhilitan akan mengambil tindakan dengan memasang umpan untuk menangkap buaya tersebut.
“Sebelum ini memang ada kes buaya sesat di sini. Arahan rasmi penutupan tasik tersebut akan dikeluarkan oleh Datuk Bandar hari ini,” katanya.
Untuk rekod, seekor anak buaya tembaga sepanjang 0.6 meter pernah ditemui di pam air tasik tersebut pada tahun 2019.