“Kaunter hujung memang tak ada orang?”- Timbalan KP Imigresen buat lawatan mengejut tegur kaunter tak buka. Lawatan mengejut Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Kawalan), Datuk Ken Anak Leben ke Pejabat Imigresen Cawangan Kelana Jaya, Selangor pada hari Rabu bagi memantau sendiri tahap kecekapan perkhidmatan jabatan itu menarik perhatian ramai.
Isu yang paling ketara adalah ketiadaan pegawai bertugas di kaunter, yang menjejaskan kelancaran operasi.
Menerusi video yang dikongsikan di Instagram Jabatan Imigresen Malaysia, Ken dimaklumkan bahawa pegawai yang sepatutnya bertugas di kaunter berkenaan belum hadir.
“Kaunter hujung memang tak ada orang?” soal Ken.
“Belum hadir lagi,” jawab seorang pegawai yang berada di meja belakang kaunter.
Sejurus itu, Ken segera mengarahkan Ketua Imigresen Pejabat Kelana Jaya untuk menyiasat ketiadaan pegawai tersebut.
Ken menjelaskan bahawa beliau juga perlu membuat laporan segera kepada pucuk pimpinan tertinggi Imigresen mengenai lawatan mengejut itu.
“Yang ini pergi mana? Kena semaklah. Saya perlu buat laporan ini. KP (Ketua Pengarah) nak segera,” ujarnya.
Dalam lawatan yang sama, Ken turut menegur seorang pegawai yang bertugas di kaunter kerana tidak memakai lencana nama.
Sebelum itu, sebaik sahaja tiba, Ken sempat bertanya kepada pengunjung mengenai tempoh waktu menunggu serta kualiti perkhidmatan yang diterima di cawangan tersebut.
Dalam video yang sama, seorang pengunjung wanita memberitahu Ken bahawa dia hanya perlu menunggu selama 30 minit untuk mendapatkan kelulusan, sambil memuji mutu perkhidmatan yang diterima di Pejabat Imigresen Cawangan Kelana Jaya.
Pada penghujung video, Ken berkata bahawa dia akan meneruskan lawatan tersebut ke seluruh cawangan Imigresen di negara ini.
Rata-rata netizen menyambut baik program lawatan mengejut tersebut dan berharap ia dapat menambah baik perkhidmatan Imigresen di negara ini.
“Usaha ini saya sokong. Di negara lain mungkin tidak dilakukan, tetapi di Malaysia, kita perlu buat seperti ini kerana budaya yang lambat.
“Seeloknya datang melawat dengan berpakaian seperti orang awam. Ambil giliran seperti biasa. Duduk di kerusi dan perhatikan bagaimana pegawai kerajaan menjalankan tugas mereka.
“Ini adalah semak imbang yang sihat. Jika dilakukan dengan lebih kerap dan konsisten, orang awam akan menilai dan menghargai penambahbaikan,” tulis netizen.
View this post on Instagram