“Katil bergegar”- Wanita kongsi pengalaman sewa homestay di Pantai Timur diganggu makhluk halus, pesanan arwah datuk jadi penyelamat… Sejak kebelakangan ini, sebuah homestay (inap desa) di sebuah negeri di Pantai Timur telah menjadi tumpuan setelah viral di media sosial.
Tarikan utama tempat penginapan ini adalah suasana pantai yang mendamaikan, hingga membuatkan golongan artis juga teruja untuk bercuti ke sana.
Tidak melepaskan peluang, Syazana memilih homestay tersebut untuk meluangkan masa bercuti bersama keluarganya pada awal Julai lalu.
“Kami menyewa tiga buah homestay: satu untuk saya dan keluarga kecil saya, dan dua lagi untuk ibu serta adik-beradik lain.
“Malam itu kebetulan hari lahir anak saya, jadi suami ada belikan kek. Kami menikmati makan malam di kawasan berhampiran. Setelah selesai makan, kami duduk santai di depan homestay.
“Kami menikmati angin sepoi-sepoi sambil berbual dengan ibu saudara yang tinggal berhampiran… dia datang singgah jumpa kami,” ujarnya memulakan cerita.
Sekitar pukul 10 malam, selepas penat dengan aktiviti sepanjang hari, mereka yang keletihan masuk ke bilik masing-masing untuk berehat.
Seperti biasa, Syazana tidak tidur awal kerana suaminya suka menonton rancangan di aplikasi Netflix.
Masa berlalu tanpa disedari sehingga jam sudah menunjukkan pukul 12 tengah malam.
Ketika itu, Syazana mula terfikir tentang inap desa tersebut yang cantik dengan ciri-ciri seperti rumah kampung, tetapi agak menggerunkan.
“Pintu bilik air boleh diselak dari luar menggunakan selak kayu. Homestay ini juga tidak mempunyai laluan angin, hanya berpendingin hawa.
“Tiba-tiba pintu bilik air bergegar dengan kuat. Saya melihat suami yang masih fokus dengan Netflix. Saya hanya menganggap itu mungkin disebabkan oleh angin.”
“Tapi bunyi angin semakin kuat membuatkan saya rasa tidak selesa. Saya beritahu suami supaya jangan tidur dulu sebab saya mula merasa seram. Malangnya, tidak sampai 10 minit, suami sudah tertidur,” katanya lagi.
Pada malam itu, pelbagai kejadian aneh berlaku, namun semuanya terpaksa ditanggung oleh Syazana sendirian.
“Panggggggg!” bunyi kuat memecah kesunyian malam dari arah pintu bilik air, seolah-olah ditendang seseorang, hingga membuatkan jantung wanita itu berdegup kencang.
Syazana cuba menenangkan dirinya dengan mengatakan bunyi tersebut mungkin disebabkan oleh angin kuat memandangkan kediaman mereka terletak berhampiran laut.
“Tapi saya cuba berfikir secara logik… jika angin kuat, kenapa pintu utama tidak bergerak sedangkan ia juga daripada kayu? Pada ketika itu, rasa tidak sedap hati mula menyelubungi diri.
“Saya rasa seperti ada sesuatu yang sedang memerhatikan saya. Saya takut jika pintu bilik air itu terbuka, apa yang mungkin keluar? Sesuatu yang merangkak? Atau mungkin terbang?” kata Syazana.
Tidak berhenti di situ, Syazana kemudiannya terus diganggu apabila dia mula merasakan seolah-olah katilnya digoncang dengan kuat.
Dalam ketakutan, wanita ini cuba memerhatikan sekeliling biliknya lalu terlihat kelibat satu makhluk berbulu berada di hujung katil.
Menurut gambaran yang diberikan oleh Syazana, entiti tersebut dikatakan memandangnya dengan wajah yang bengis.
“Saya tengok suami masih tidak sedar dengan apa yang berlaku. Dia sedap tidur dalam keadaan macam tu. Saya memang panik dan takut makhluk tu akan terkam saya.
“Tapi saya teringat ajaran arwah atuk dulu. Jadi dengan beraninya, saya pejam mata sambil berkata, ‘Aku tak ganggu kau, kau jangan ganggu aku. Aku datang sini untuk bercuti dan aku sudah bayar.’
“Dengan serta-merta, katil berhenti bergegar. Saya rasa lega apabila entiti tu hilang selepas saya buka mata, tetapi dalam hati saya tetap cemas, risau jika ia akan muncul semula. Malam itu, saya tidak dapat tidur,” jelasnya lagi.
Pagi keesokan harinya, Syazana terus keluar dan duduk di ruang tamu rumah inap tersebut sambil menunggu ahli keluarganya bangun dari tidur.
Menurut Syazana, dia hanya menceritakan pengalaman ngerinya itu selepas pulang ke kediaman mereka.
Sebagai seorang wanita yang dianggap ‘insan terpilih’ kerana hijabnya terbuka, inilah pengalaman seram yang tak akan dilupakan sampai bila-bila.