Kapal hilang 55 tahun lalu ditemui semula. Sebuah kapal yang hilang 55 tahun lalu dan digelar sebagai salah satu bencana maritim pascaperang yang paling teruk negara ini, baru-baru ini telah ditemukan semula di luar pantai New South Wales.
Portal 9News melaporkan bahawa MV Noongah, kapal kargo keluli dengan 26 kru, berlepas dari Newcastle menuju Townsville pada 23 Ogos 1969.
Hanya dua hari selepas memulakan pelayaran, kapal sepanjang 71 meter itu terperangkap dalam ribut dan hilang.
Pasukan penyelamat, termasuk dari pelbagai agensi, telah menjalankan salah satu pencarian terbesar untuk menemukan kapal tersebut.
Namun kini, projek bersama dengan kru CSIRO, Heritage NSW, dan The Sydney Project berjaya mengesan bangkai kapal tersebut di luar pantai New South Wales.
“Beberapa orang awam turut menyumbang kepada projek ini, termasuk dengan menentukan dan melaporkan lokasi kapal yang disyaki karam di luar pantai NSW,” kata CSIRO.
Data pemetaan dasar laut dan rakaman video menunjukkan bangkai kapal itu berada dalam keadaan tegak dan sebahagian besarnya masih utuh.
Ketua kumpulan CSIRO, Matthew Kimber, berkata penemuan ini menunjukkan kepentingan warisan maritim.
“Tragedi ini masih segar dalam ingatan ramai, dan kami mengucapkan takziah kepada keluarga serta keturunan semua anak kapal yang hilang.
“Fikiran kami juga tertumpu kepada anak kapal MV Noongah yang masih hidup. Kami berharap dapat mengetahui lokasi ‘tempat berehat’ kapal itu sekaligus menutup kes ini,” katanya.