Kanak-kanak perempuan 5 tahun menang cabutan bertuah Perodua Aruz di SUKMA Sarawak. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.
Peribahasa ini tepat menggambarkan nasib seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun setelah diumumkan sebagai pemenang hadiah utama cabutan bertuah sempena Majlis Perasmian SUKMA Sarawak 2024 pada hari Sabtu. Dia membawa pulang sebuah kereta Perodua Aruz.
Berita mengenai kemenangan adik Ainul Mardhiah Hirizuan ini dikongsikan di laman Facebook berita, Sarawak Edition.
“Rezeki tak salah alamat. Tahniah kepada adik Ainul Mardhiah Hirizuan yang berumur lima tahun, merupakan pemenang utama Cabutan Bertuah sempena Majlis Perasmian SUKMA Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Sarawak (Kuching) malam tadi,” tulis perkongsian tersebut.
Setakat laporan ini ditulis, hantaran berkenaan telah mendapat lebih 4,600 tanda suka, 521 komen, dan 636 perkongsian di Facebook.
Rata-rata warganet mengucapkan tahniah kepada kanak-kanak perempuan tersebut dan keluarganya atas kemenangan tersebut.
“Tahniah adik Ainul. Kecil-kecil dah ada kereta,” kata Noriza Eja.
“Tahniah adik Ainul. Rezeki anak bertuah,” ujar Nurshazwanna Nurshazwanna.
“Tahniah, rezeki untuk keluarga adik,” tulis Fizah Ayang.
View this post on Instagram
Cabutan bertuah sempena SUKMA Sarawak 2024 menawarkan Perodua Aruz sebagai hadiah utama bersama beberapa ganjaran lain, termasuk Macbook Pro, skuter elektrik, serta telefon dan jam tangan pintar.
SUKMA 2024 secara rasmi dibuka pada hari Sabtu dalam majlis pembukaan yang berlangsung dengan penuh gemilang di Stadium Sarawak, Kuching, Sarawak.
SUKMA Sarawak dianjurkan di sembilan bahagian di Sarawak hingga 24 Ogos, melibatkan 488 acara dalam 37 jenis sukan yang terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita, dan 35 acara campuran.