Kalau pergi pantai mesti jumpa ‘bebola’ kecil atas pasir, rupanya kerja makhluk ini. Bagi sesiapa yang suka pergi pantai, anda sudah semestinya dapat merasai tekstur pasir pantai di sana.
Biasanya, orang ramai gemar untuk bermain pasir di kawasan yang lembap. Ini memudahkan struktur pasir untuk melekat antara satu sama pasir dan membentuk bentuk-betuk yang menarik.
Selain membina istana pasir, pengunjung pantai juga gemar untuk membuat ‘saliran’, dengan menggali pasir pantai dalam kuantiti yang banyak.
Terdapat pelbagai bentuk dan struktur yang dapat dihasilkan daripada pasir pantai, berdasarkan kreativiti pengunjung-pengunjung di sana.
Namun, ada satu ‘struktur’ pasir pantai yang sering membuatkan kita keliru. Ada pengunjung yang mengelak ‘benda’ ini kerana dikhuatiri najis.
Walau bagaimanapaun, ‘objek’ ini tidak menghasilkan bau-bauan yang tidak menyenangkan dan tidak memiliki tekstur yang aneh apabila ia dipijak.
Rupanya bebola pasir yang kecil ini adalah ciptaan daripada ketam-ketam kecil persisiran pantai.
Haiwan kecil yang memiliki cangkerang ini akan menggumpalkan pasir yang mengandungi air laut dan membentuknya kepada bulatan. Saiz bulatan pasir pula ini seakan-akan saiz sebiji lada hitam.
Ada yang merasa skeptikal untuk memijak butiran-butiran pasir yang dihasilkan ketam-ketam ini kerana objek ini disangkakan sebagai najis ketam.
Bukan itu sahaja, ada juga pengunjung pantai yang menyangka bahawa itu adalah ‘telur’ ketam dan tidak sanggup memijaknya.
Sebenarnya, itu bukanlah bahan buangan atau ‘penerus legasi’ ketam-ketam di pantai berkenaan.
@georgelawersonmoo cantik pula dia buat bulat2 mcm tu #wildlife #beach #videohariini #animalworld #natgeo ♬ original sound – Apai Takaful
Menariknya, butiran pasir tersebut dihasilkan selepas ketam ‘menjamah makanannya’.
Menurut Earth Touch News Network, ketam akan makan nutrien daripada pasir pantai. Hal ini kerana, ketika air pasang akan membawa bahan organik ke tepi pantai.
Di saat air surut, ketam-ketam akan keluar dari sarang dan menghisap pasir-pasir tersebut untuk mendapatkan nutrisi semula jadi tersebut.
Jadi, pasir yang sudah tiada nutrisi akan digumpalkan sehingga berbentuk seperti bebola dan dibuang ke belakang. Inilah sebab mengapa kita sering terlihat ‘bebola’ kecil ini di pantai.