Jutaan ‘ikan terbang’ di pesisir pantai bikin ramai risau berlaku gempa bumi dan tsunami. Kemunculan jutaan ikan di pesisir pantai telah mencetuskan pelbagai spekulasi, dengan sesetengah pihak mengaitkannya sebagai petanda gempa besar dan tsunami.
Kejadian ‘ikan terbang’ ini dilaporkan berlaku di sepanjang Pantai Selatan Priangan Timur dan Pantai Cipatujuh, Kabupaten Tasikmalaya, Jawa Barat di Indonesia pada minggu lalu.
Peristiwa ini turut tular di media sosial selepas beberapa rakaman video malam itu memaparkan sekumpulan penduduk cuba menangkap ‘ikan terbang’ tersebut.
Walaupun terdapat kegembiraan dengan rezeki yang melimpah, timbul juga rasa bimbang tentang kemungkinan bencana yang lebih dahsyat akan berlaku.
“Bukan hanya di pesisir Cipatujah, tetapi kejadian ini turut berlaku di sepanjang pesisir Pangandaran, Tasikmalaya hingga ke Santolo, Garut,” kata wakil Himpunan Nelayan Seluruh Indonesia (NHSI) Kabupaten Tasikmalaya, Jawa Barat, Dedi Mulyadi pada hari Selasa.
Menurutnya, fenomena pelik seperti ini sebenarnya adalah perkara biasa, namun jumlah ikan yang dirakamkan kali ini adalah luar biasa memandangkan kejadian ini berlaku ketika musim kemarau panjang.
“Ada kekhuatiran mula timbul jika ini mungkin merupakan amaran awal mengenai fenomena aneh lain yang mungkin berlaku di dasar laut,” ujarnya.
Pada tahun 2020, Ketua Bidang Mitigasi Gempa dan Tsunami (BMKG), Daryono, pernah menyatakan bahawa fenomena ikan naik ke darat bukanlah petanda akan berlaku gempa.
“Ramalan sedemikian adalah tidak benar sama sekali,” ujarnya.