Juruteknik tak sangka belanja RM300, bawa pulang kereta Mitsubishi Xpander yang bernilai RM120,000. Seorang juruteknik, Lim Eng Koon, 45 tahun, tidak menyangka bahawa dengan belanja sebanyak RM300, dia akan dapat membawa pulang sebuah kereta Mitsubishi Xpander bernilai RM120,000.
Eng Koon adalah salah seorang daripada tiga pemenang utama yang disenaraikan daripada 80 pelanggan Aman Central dalam cabutan bertuah peringkat akhir menerusi kempen ‘Appreci8th Celebration’ yang berlangsung dari 26 Oktober 2023 hingga 25 Februari yang lalu.
Juruteknik di sebuah kilang di Kulim Hi Tech Park (KHTP) itu bercadang untuk menghadiahkan kenderaan tersebut kepada isterinya yang bekerja sebagai kakitangan di sebuah bank di Alor Setar.
“Saya telah membeli-belah sejumlah RM300 di Aman Central semasa Tahun Baharu Cina dan ini telah membolehkan saya untuk menyertai peraduan ini.
“Saya tidak pernah membayangkan bahawa saya akan memenangi hadiah utama, jadi saya agak terkejut apabila pihak pengurusan Aman Central menghubungi saya untuk memberitahu bahawa saya telah disenaraikan sebagai salah seorang daripada 80 peserta yang layak untuk cabutan bertuah,” katanya ketika ditemui di majlis Cabutan Akhir Sambutan Ulang Tahun ke-8 kempen Appreci8th yang telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mohd Yusri Md Daud.
Menurut Eng Koon, kemenangan tersebut merupakan kejutan baginya kerana pemilihan pemenang hadiah utama telah dilakukan melalui cabutan sampul dalam majlis tersebut.
“Semasa mendaftar, kami diberikan sampul surat yang mengandungi kad berwarna mengikut kategori hadiah,” katanya.
“Jadi saya sendiri pun tak tahu terpilih sebagai tiga pelanggan akhir untuk hadiah utama,” ujarnya.
Penolong Pengurus Besar Komunikasi Pemasaran Aman Central, Ken Chin, menyatakan bahawa pihaknya mengambil inisiatif melalui kempen ulang tahun untuk menghargai dan memberikan ganjaran kepada pelanggan kerana mereka telah mengekalkan Aman Central sebagai destinasi utama pusat membeli-belah di wilayah utara.
“Berikutan sokongan daripada pelanggan setia, pertumbuhan ekonomi kami telah pulih sepenuhnya dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
“Kami akan terus mengadakan acara yang tiada tandingan pada tahun depan, sempena sambutan sedekad (10 tahun) Aman Central,” katanya.
Menurutnya, kempen penghargaan tersebut akan diteruskan pada bulan Oktober tahun depan untuk tahun kesembilan dengan pelbagai hadiah menarik.
“Melalui kempen ini, pembeli layak untuk menyertai dengan berbelanja minimum RM300 dan ke atas, dengan maksimum dua resit gabungan dari mana-mana cawangan di Aman Central.
“Sebelum menentukan pemenang utama, 80 nombor akan disenaraikan melalui mekanisme cabutan sampul surat yang mengandungi kad berwarna. Kemudian, tiga pelanggan terakhir akan bertanding untuk merebut hadiah utama melalui permainan kerusi muzik.
“Dua finalis terakhir akan mencari kunci kereta dalam beg yang dipenuhi dengan bebola styrofoam sebelum diumumkan sebagai pemenang,” ujarnya.