Jurulatih kecergasan kelahiran Lipis cipta rekod buat senaman kardio tanpa henti selam 15 jam. Jurulatih kecergasan kelahiran Lipis, K Jey Prabakaran Thevar, atau lebih dikenali sebagai Dr KJey, telah berjaya memecahkan rekodnya sendiri bagi aktiviti senaman kardio tanpa henti paling lama.
Tahun lalu, lelaki berumur 27 tahun ini mencipta rekod 12 jam senaman kardio tanpa henti dan disenaraikan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) serta Influencer Book of World Records.
Pada 14 Oktober lalu, Jey Prabakaran memecahkan rekod tersebut dengan melakukan senaman kardio tanpa henti selama 15 jam di sebuah gimnasium di Kuala Lipis, dan beliau juga akan disenaraikan dalam Guinness World Records.
Anak bongsu daripada empat beradik itu menggunakan lebih 20 mesin dan peralatan senaman di gimnasium, termasuk treadmill, dumbbell, cross trainer, mesin berbasikal, dan barbell dalam sesi yang bermula dari jam 6.30 pagi hingga 9.30 malam.
“Tahun lalu, setelah mencatatkan 12 jam rutin senaman tanpa henti untuk MBOR, saya menetapkan sasaran untuk dua rekod pula, iaitu Asia Book of Records dan rekod dunia tahun ini,” katanya.
Jelasnya, dia berjaya mencapai masa 13 jam senaman tanpa henti untuk disenaraikan dalam Asia Book of Records pada 11 Jun lalu dan bercadang mencipta rekod peribadi baharu untuk Guinness World Records.
“Kini saya berjaya dengan rekod 15 jam. Saya berlatih sejak awal tahun ini untuk Asia Book of Records kerana sedar penurunan momentum akan mempengaruhi prestasi dan membahayakan peluang saya untuk cipta rekod dunia.
“Latihan mengikut rutin yang ketat dijalani selama lebih tujuh bulan dan saya sangat gembira dengan rekod baharu ini,” katanya selepas menerima sijil MBOR dan Influencer Book of World Records di sini semalam.
Sijil MBOR dan Influencer Book of World Records disampaikan oleh wakil, Mohamad Nazrul Hafizi dan P Tamilanban.
Jey Prabakaran menyifatkan pencapaian mencipta rekod 15 jam sangat mencabar kerana dia tidak boleh berhenti untuk berehat, kecuali minum dan makan sambil meneruskan senaman dalam rentak perlahan.
“Saya hanya dibenarkan mengambil snek ringan dan minuman semasa di atas basikal senaman dan treadmill, serta beberapa minit untuk menggunakan tandas.
“Ia sebahagian daripada syarat untuk disenaraikan dalam buku rekod. Saya perlu fokus pada rutin agar tidak terganggu semasa sesi senaman,” katanya yang kini menunggu pengesahan rasmi Guinness World Records.
Dia juga menetapkan matlamat untuk memecahkan lebih banyak rekod pada tahun depan.
“Selepas berbulan-bulan berlatih, saya akan berehat sekejap untuk meluangkan masa dengan keluarga dan merayakan Deepavali, serta meraikan pencapaian dengan menikmati biskut, manisan, dan hidangan perayaan lain.
“Deepavali tahun lalu, saya tidak makan sebarang snek dan hidangan kerana sedang menjalani diet ketat,” katanya sambil melahirkan penghargaan kepada ibu, S. Sukunamalar, 66, dan adik-beradiknya yang menjadi sumber motivasi terbesar.