Jumpa jongkong emas dalam tong sampah, pekerja pusat kitar semula berjaya pulangkan kepada pemilik dipuji netizen. Seorang pekerja di pusat kitar semula Banpo Xi, Seoul, menemui sekeping jongkong emas yang tersimpan di dalam sebuah kotak cakera padat (CD) pada hari Rabu.
Menurut laporan The Korea Herald, penemuan tersebut kemudiannya diumumkan di forum komuniti dalam talian untuk mencari pemilik jongkong emas tersebut.
Dalam pengumuman di forum tersebut, pemilik jongkong emas dikehendaki menghubungi pihak pengurusan apartmen yang berkaitan untuk mendapatkan semula harta mereka.
Pemilik juga diminta untuk menjelaskan lokasi tong kitar semula di mana jongkong emas itu ditemui dan menunjukkan kotak CD sebagai bukti kepemilikan.
“Kami akan mengembalikan jongkong emas ini selepas sahkan tuntutan anda melalui rakaman CCTV,” demikian kenyataan yang dipaparkan di forum tersebut.
Difahamkan, pemilik sebenar telah menebus jongkong emas tersebut keesokan harinya, pada hari Khamis.