Jual sampah di Melaka raih lebih RM350,000

Photo of author

By Joe

Jual sampah di Melaka raih lebih RM350,000. Program Sampah Kepada Tunai atau ‘Trash To Cash’ yang dilaksanakan oleh kerajaan telah berjaya menjana pendapatan sebanyak RM354,798 kepada peserta melalui kutipan 1,598 tan sampah sepanjang tahun lalu.

EXCO Kanan Perumahan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) ini dilihat mampu menyokong program Dasar Kebersihan Negara yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Beliau menjelaskan bahawa kejayaan ini dicapai melalui 957 program Trash To Cash yang dilaksanakan oleh SWCorp dengan kerjasama pelbagai agensi.

Jual sampah di Melaka raih lebih RM350,000

“Sehingga bulan lalu, sebanyak 922,253.86 kilogram sampah telah dikutip dengan nilai RM177,508.73. Ini adalah penting bagi mencapai sasaran kadar kitar semula negara yang dijangka mencapai 40 peratus menjelang tahun 2025,” katanya.
“Tahun lalu, Malaysia melepasi sasaran dengan kadar 35.38 peratus, dan saya yakin angka ini akan terus meningkat hasil daripada usaha sama berterusan antara SWCorp, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan semua agensi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Mega Trash To Cash 2024 di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi SWCorp, Hee Loy Sian, dan Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Pada majlis tersebut, sebanyak 10.3 tan barangan kitar semula, termasuk minyak masak, peralatan elektrik, botol, kotak, dan fabrik, dengan nilai RM8,266, telah dibayar kepada peserta program.

Mengulas lanjut, Rais berkata, penganjuran Trash To Cash memberi peluang kepada masyarakat untuk melupuskan al-Quran lama atau rosak dan menukar al-Quran baharu secara percuma bagi naskah yang tidak mendapat perakuan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Selain itu, kewujudan Pusat Pandu Lalu Kitar Semula adalah salah satu strategi yang ditawarkan kepada masyarakat di sembilan lokasi operasi pusat tersebut.

“Sehingga Jun lalu, sebanyak 69 tan sisa kitar semula berjaya dikutip melalui program ini,” katanya.

Baca Lagi:
Ketua polis ditangkap basah dengan isteri orang
Doktor kecewa dengan KKM, nak ‘claim’ elaun kerja lebih 24 jam ditolak
Basikal Raleigh Chopper berharga RM120 milik Agong jadi perhatian ramai