Jenama Malaysia ini kena ‘claim’ milik Indonesia sebab terlalu popular. Dalam dunia perniagaan, ramai pengguna kini tidak lagi menghiraukan asal-usul sesuatu jenama, sama ada ia berasal dari Malaysia atau negara lain, asalkan ia memenuhi keperluan harian mereka.
Ini juga termasuk perdebatan mengenai asal usul jenama atau produk, seperti batik, yang sering menjadi topik perdebatan antara Malaysia dan Indonesia.
Tetapi tahukah anda bahawa terdapat beberapa jenama Malaysia yang sangat popular di Indonesia sehingga berjaya menakluk pasaran di sana?
Menurut Jembar Digital, jenama-jenama ini pernah dianggap sebagai jenama tempatan oleh rakyat Indonesia.
Antara jenama tersebut adalah Maybank, salah satu institusi kewangan terkemuka di Malaysia. Di Indonesia, kehadiran Maybank sangat besar sehingga ada yang menyangka ia milik Indonesia.
Selain itu, jenama Fipper, sebuah syarikat selipar atau sandal yang terkenal dengan reka bentuk minimalis dan menarik, juga dikenali. Namun, ramai rakyat Indonesia beranggapan bahawa jenama ini berasal dari Thailand kerana sandal ini berjaya menguasai pusat beli-belah terkemuka di Indonesia. Hakikatnya, Fipper adalah jenama yang berasal dari Malaysia. Sandal ini mendapat sambutan hangat, terutamanya di kalangan golongan muda yang mengutamakan keselesaan dan gaya kasual.
Ketiga, terdapat AirAsia, syarikat penerbangan tambang murah yang bukan sahaja menakluk pasaran ASEAN, tetapi juga dianggap antara jenama tambang murah terbaik di dunia. Syarikat penerbangan ini telah lama menjadi pilihan utama bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di Indonesia. Dengan promosi tiket tambang murah yang sentiasa ditunggu-tunggu, AirAsia sering disalah anggap sebagai syarikat penerbangan Indonesia oleh segelintir rakyat negara jiran.
Untuk memperkukuhkan kehadirannya di pasaran Indonesia, CEO AirAsia, Tony Fernandes, baru-baru ini memutuskan untuk membuka ibu pejabat di Jakarta. Ini membuktikan betapa pentingnya pasaran Indonesia bagi AirAsia.