Janna Nick dedah terima DM dari individu mahu pinjam duit RM8,500 kerana kantoi mencuri. Seorang individu tidak dikenali berani meminta pertolongan dalam bentuk wang daripada pelakon sensasi, Janna Nick, selepas ditangkap mencuri.
Dalam hantaran di Instagram Story, Janna, yang nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 29, memuat naik tangkap layar mesej daripada individu tersebut yang ingin meminjam RM8,500.
“Tolong saya kak, saya kantoi mencuri. Saya perlukan duit untuk bayar balik tapi saya tiada duit. Saya harap akak dapat bantu saya dalam RM8,500. Mereka nak duit itu hari ini juga,” tulis individu tersebut.
Enggan bersimpati, Janna meminta individu itu bertaubat dan menyesali perbuatannya.
“Orang penat kerja dan menyimpan, dia senang mencuri lepas itu kantoi. Bertaubatlah dik. Hari ini kita curi, esok Allah balas lebih teruk dari nilai yang kita curi. Maaf, saya benci orang malas,” balasnya.
Rata-rata netizen sependapat dengan Janna, beranggapan orang seperti itu tidak patut diberi muka.
“Amboi senangnya hidup, kau yang mencuri, kau yang meminta tolong,” komen seorang netizen.
“Jangan buat baik dengan orang macam ini, dia akan ulangi perbuatan tersebut lagi,” tambah seorang lagi.