Jangan terkejut, ini kos sebenar membesarkan seorang anak dari kecil hingga umur 23 tahun di Malaysia. Berdasarkan data dari Numbeo.com, Malaysia masih dikategorikan sebagai antara negara dengan kos sara hidup terendah di dunia.
Bagi penduduk di ibu negara Kuala Lumpur, kos sara hidup di sini diletakkan pada ranking ke-222 daripada keseluruhan 354 bandar dalam indeks Numbeo.com.
Bagaimanapun, bagi keluarga yang besar, kos yang diperlukan pastinya lebih tinggi.
Ini lagi diperburuk jika individu tersebut mempunyai pendapatan yang terhad setiap bulan.
Secara realitinya, kos untuk membesarkan seorang anak di Malaysia tidaklah kecil.
Kami akan kongsikan di bawah ini maklumat berkenaan anggaran kos membesarkan seorang anak di Malaysia, dari fasa kehamilan sehingga anak mencapai umur sekurang-kurangnya 23 tahun.
Jika anda merujuk kepada infografik di atas, kami telah menyediakan anggaran jumlah terendah keseluruhan kos yang diperlukan untuk membesarkan seorang anak.
Kami menyediakan dua pilihan anggaran kos, sama ada menggunakan kemudahan kerajaan yang disubsidi atau memilih perkhidmatan swasta.
Kehamilan dan keperluan bayi
Kos kehamilan antara fasiliti kerajaan dan swasta mempunyai perbezaan yang ketara.
Jika anda mendaftar di klinik atau hospital kerajaan, anda hanya perlu membayar sekitar RM200 hingga RM300 termasuk caj wad harian.
Bagi hospital atau pusat perubatan swasta, kos boleh bermula dari RM4,000 hingga RM20,000 bergantung kepada jenis hospital dan pakej yang dipilih.
Mulai 1 Januari 2020, kerajaan mewajibkan penggunaan kerusi bayi dalam kenderaan untuk mengurangkan kecederaan dan kematian bayi serta kanak-kanak akibat kemalangan.
Oleh itu, kami memasukkan harga kerusi bayi sebagai kos wajib yang perlu ditanggung oleh ibu bapa atau penjaga.
RM150 adalah anggaran terendah kerana kami tidak mahu mencadangkan kerusi bayi yang kurang selamat.
Keselamatan kanak-kanak adalah keutamaan, jadi kerusi bayi yang terlalu murah mungkin tidak selamat!
Kos persekolahan
Bagi ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah kerajaan, yuran tahunan boleh dianggap rendah.
Namun, kos persediaan ke sekolah seperti alat tulis, buku, pakaian seragam, dan belanja harian, perlu dipertimbangkan.
Bagi sekolah swasta, kos akan meningkat dua kali ganda daripada kos sekolah kerajaan.
Ini kerana, pembayaran kos operasi sekolah dan yuran-yuran lain perlu dibayar, yang tidak terdapat di sekolah kerajaan.
Untuk mengurangkan beban kos dalam membesarkan anak, anda boleh mempertimbangkan beberapa perkara berikut:
- Membeli kelengkapan bayi secara second-hand atau meminjam dari saudara mara.
- Menggunakan perkhidmatan bas sekolah percuma yang disediakan oleh DBKL jika tinggal di kawasan Perumahan Awam (PA) atau Projek Perumahan Rakyat (PPR) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
- Memohon Pas Pelajar untuk penggunaan anak-anak yang menggunakan perkhidmatan LRT, MRT, atau pengangkutan awam lain yang diselia oleh RapidKL.
- Memilih pusat pengajian yang menyediakan kemudahan biasiswa dan pinjaman pelajaran seperti PTPTN bagi anak-anak yang melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, kos yang diperlukan mungkin lebih tinggi. Walau bagaimanapun, kerajaan menyediakan inisiatif untuk mengurangkan beban tanggungan keluarga terutamanya kepada golongan B40 dan M40.
Manfaatkan peluang ini dengan sepenuhnya kerana inisiatif yang disediakan bertujuan untuk kesejahteraan rakyat.
Selalu bertanya kepada petugas di jabatan-jabatan atau pusat perkhidmatan kerajaan untuk mendapatkan maklumat mengenai inisiatif semasa yang disediakan oleh kerajaan.