Jangan minum Kopi Pejuang, KKM sahkan ada ubat mati pucuk. Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM) mengesahkan bahawa produk Kopi Pejuang telah dikesan mengandungi tadalafil, sejenis ubat yang digunakan untuk merawat masalah fungsi erektil atau mati pucuk.
Menurut KKM, pihaknya melalui PKKM menegaskan bahawa produk makanan yang disyaki dicampur dengan racun berjadual seperti sildenafil, tadalafil, sibutramine, dexamethasone, dan prednisolone sentiasa dipantau dengan teliti.
“Hasil tindakan penguatkuasaan terkini PKKM mendapati bahawa Kopi Pejuang mengandungi tadalafil.
“Penggunaan tadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan sampingan serius seperti pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran.
“Ia juga boleh menyebabkan penurunan tekanan darah yang mendadak sehingga ke tahap berbahaya dan memberi kesan kepada sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung,” katanya hari ini.
Sehubungan itu, semua peniaga, termasuk yang menjual secara dalam talian, yang masih mempunyai stok Kopi Pejuang diarahkan untuk menghentikan penjualan produk tersebut dengan serta-merta.
Mereka juga perlu menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat untuk tujuan penyitaan.
Semua media pengiklanan, termasuk platform e-dagang dan media sosial, perlu menghentikan penyiaran iklan mengenai makanan tersebut.
KKM juga memaklumkan bahawa label produk tersebut didapati tidak mematuhi kehendak label di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, iaitu tiada nama dan alamat pengilang, pembungkus, pengedar, empunya hak untuk mengilang, atau pengimport.
“Sehubungan itu, produk tersebut tidak boleh diiklankan untuk jualan dan tidak boleh dijual seperti yang dinyatakan di bawah Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Makanan 1985,” tambahnya.
Mengulas lanjut, KKM berkata bahawa sejak tahun 2021 hingga Julai 2024, sebanyak 500 sampel kopi pelbagai jenama telah dianalisis untuk parameter racun berjadual, di mana tujuh sampel didapati mengandungi racun berjadual yang tidak dibenarkan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap syarikat dan produk yang terlibat,” ujarnya.