“Jalan paling banyak bonggol dalam Malaysia, satu rumah ada satu bonggol”. “Satu rumah satu bonggol, 100 meter jalan ada lebih lima bonggol. Nampak lebih menyusahkan pengguna, boleh rosak kereta dan motosikal yang lalu.”
Itu antara reaksi orang ramai selepas tular rakaman yang dikongsikan oleh pengguna TikTok @ellyschubbyss, memaparkan sebuah jalan di kawasan taman perumahan yang dipenuhi banyak bonggol.
Menerusi video berdurasi 29 saat itu, individu yang merakam situasi dari dalam kereta ketika melalui jalan berbonggol berasa terhibur sambil mempersoalkan tujuan pembinaan bonggol dengan jarak yang terlalu dekat.
Dalam video sama, kelihatan bonggol tersebut seolah-olah dibina khas untuk setiap rumah sepanjang laluan itu.
“Terpaling banyak bonggol pernah aku lalu,” tulisnya di ruang kapsyen.
Difahamkan, laluan tersebut terletak di salah sebuah taman perumahan dekat Sungai Udang, Melaka.
Perkongsian video itu telah meraih perhatian ramai dengan lebih 560,000 tontonan sejak semalam.
Malah, ada netizen sempat berseloroh bahawa laluan tersebut digunakan untuk latihan berkuda serta kegunaan atlet lari berhalang.
“Laluan berkuda ni kak, biasalah.. kuda pun nak berlatih ‘outdoor’,” seloroh @fadd.
Bagaimanapun, ada yang meninggalkan komen memaklumkan bahawa kawasan tersebut sering berlaku kemalangan dan sebagai langkah pencegahan, pihak berkuasa membina beberapa bonggol untuk memastikan pengguna memperlahankan kenderaan ketika melaluinya.
“Kawasan perumahan memang elok buat bonggol jalan macam ini, takut budak main luar rumah, kereta laju-laju,” kata @scotts.
“Sebab dekat sini orang bawa kereta laju-laju, takut anak-anak kawasan perumahan nak balik sekolah atau apa bahaya,” komen @Lisa Gojes.
@ellyschubbyss Terpaling banyak bongol penah lalu #melaka #sungaiudang #sungaiudangmelaka ♬ original sound – Ellys Anis