Jadi tanda tanya kenapa binatang sebesar buaya tiada gelombang air ketika berenang, rupanya sebab ni ramai tak tahu. Seperti yang diketahui, buaya merupakan haiwan pemangsa yang telah wujud sejak jutaan tahun lalu. Pakar penyerang hendap ini mampu menerkam mangsa ke dalam air dengan mudah.
Lazimnya, reptilia ini menunggu mangsa di muara atau gigi air tanpa disedari. Peliknya, ia mampu menyembunyikan badannya yang besar tanpa sebarang riak air sebelum menyerang mangsa.
Oleh itu, hari ini kita akan merungkai misteri rahsia keberhasilan penyerang hendap ini di bawah.
Buaya
Umum mengetahui, buaya berenang menggunakan siripnya untuk timbul di permukaan dan hilang di dalam air.
Ia kemudian muncul secara tiba-tiba di hadapan mangsanya sebelum menariknya ke dalam air. Oleh itu, kehebatan haiwan ini dalam menerkam mangsa tidak boleh dinafikan.
Sebab Tiada Riak Air Dibuat Oleh Buaya
Air yang tenang jangan disangka tiada buaya, itulah perumpaan yang boleh digambarkan kerana ia tidak menghasilkan sebarang percikan air meskipun berada di depan anda. Kenapa?
Jawapannya adalah ia boleh mengubah kedudukan paru-paru. Strategi memburu mangsa ini mungkin menjadi jawapan kepada teknik memburu yang digunakan oleh pemangsa purba ini.
Menurut penyelidik T.J. Uriona ahli biologi di Universiti Utah di Salt Lake City, ia adalah penemuan yang menakjubkan.
“Penyelidik menyedari bahawa buaya sebenarnya mempunyai banyak otot khas yang membantu untuk bernafas. Perkara itu membuatkan kami ingin mengkaji dengan lebih mendalam terhadap haiwan ini,” katanya.
Difahamkan, sebanyak lima buaya Amerika jenis Alligator mississippiensis berusia 2 tahun telah diambil untuk membuat perbandingan dengan aligator dewasa sepanjang 15 kaki.
Haiwan yang berukuran 15 hingga 20 inci panjang itu diperolehi dari Perlindungan Hidupan Liar Rockefeller Louisiana. Bagi mengetahui rahsia disebalik pemangsa ini, sejenis alat yang dipanggil elektrod telah ditanam pada set otot dalam buaya.
Ia bagi memantau aktiviti buaya yang diletakkan di dalam sebuah tangki. Para penyelidik juga meletakkan sejenis pemberat yang diperbuat daripada pelet buckshot di bawah rahang reptilia atau di pangkal ekor mereka.
Berat itu mencapai satu perempat puluh daripada berat setiap aligator itu.
“Aligator mudah untuk dilakukan penyelidikan. Haiwan ini tidak terlalu agresif dan hanya menyerang untuk mempertahankan diri,” kata Uriona.
Tumpuan diberikan kepada otot khas yang digunakan buaya untuk memanipulasi kedudukan paru-paru mereka. Otot-otot ini dipercayai berkembang untuk membantu buaya bernafas dan bergerak pada masa yang sama.
“Otot-otot yang timbul berkemungkinan untuk mengambil udara kerana bergerak di dalam air sebelum kembali ke bawah,” katanya lagi.
Beg Udara Dalam Air
Paru-paru haiwan ini bertindak sebagai beg udara untuk terapung. Ia boleh menggerakkan organ itu bagi mengubah daya pusat apungan.
Penyelidik berpendapat bahawa sekiranya paru-paru bergerak ke arah ekor, ia berperanan untuk menyelam. Manakala, jika ia digerakkan ke arah kepala membantu mereka untuk muncul di permukaan air.
Selain itu, jika digerakkan ke bahagian sisi bertujuan untuk berputar ke sisi termasuk menggunakan ekornya. Saintis berpendapat bahawa ia dapat mengawal jumlah udara yang disedut mereka.
“Jika mereka mahu tenggelam, mereka hanya akan mengambil sedikit udara; jika mereka mahu ke permukaan, mereka akan menarik nafas panjang.
“Kadang-kadang perkara seperti inilah yang terlepas pandang,” kata Uriona.
Peredaran Waktu Buaya
Pada awal evolusi buaya, haiwan ini hanya bersaiz seperti kucing dan tinggal daratan. Kira-kira 145 juta tahun yang lalu, haiwan ini berevolusi dengan mengubah struktur ototnya dan menjadi amfibia (mampu tinggal di dalam air dan darat).
Oleh itu, tidak pelik mengapa ia mampu mengubah kedudukan paru-parunya di dalam air tanpa membuat percikan air. Teknik ini bukan sahaja dapat membantu dalam memburu mangsa malah menyelamatkan diri sendiri.
Selain aligator atau buaya, haiwan lain seperti penyu, katak cakar Afrika dan salamander mampu melakukan perkara ini.