Jadi tanda tanya kenapa bendera Malaysia dicat terbalik pada pesawat. Kapal terbang adalah alat pengangkutan udara yang sering digunakan oleh orang ramai untuk pergi ke destinasi tertentu, yang sering memakan masa beberapa jam perjalanan.
Bagi mereka yang pertama kali menaiki kapal terbang, ia merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan, terutamanya apabila mereka menggunakan perkhidmatan tersebut untuk bercuti.
Biasanya, kapal terbang menjadi pilihan pengangkutan utama untuk perjalanan jarak jauh merentasi pelbagai negara dan benua dalam masa yang singkat.
Setiap kapal terbang mempunyai identiti tersendiri, corak yang melambangkan status pemiliknya dan negara asal dalam sistem penerbangan.
Jika anda sering ke lapangan terbang, anda mungkin dapat mengenal pasti kapal terbang yang dimiliki oleh negara anda, kerana terdapat nama syarikat penerbangan seperti MAS, AirAsia, FireFly, dan lain-lain tertera padanya.
Namun, adakah anda pernah perasan bahawa bendera Malaysia pada sesetengah kapal terbang berada dalam keadaan terbalik (mirrored), tetapi perkataan “MALAYSIA” tidak?
Adakah ini penting dan mempunyai mesej tersirat dalam sistem penerbangan?
Sama seperti warna kebanyakan kapal terbang dicat dengan warna putih atas beberapa faktor seperti menjadi pemantul cahaya, mudah untuk mengesan keretakan dan penyek, mengurangkan penyerapan haba, mengesan hakisan dan kebocoran minyak selain kosnya yang tidak mahal.
Tentunya, perkara ini menjadi persoalan dalam kalangan orang ramai mengenai bendera dan nama yang terdapat pada badan pesawat ini. Jadi, mari kita ketahui lebih lanjut mengenai perkara ini.
Bendera Terbalik tetapi Perkataan Tidak
Menurut Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menerusi topik 10 Bendera Malaysia dan Perkataan ‘Malaysia’ pada Pesawat CAD 7, bendera Malaysia dan perkataan ‘Malaysia’ perlu diletakkan pada bahagian hadapan atau hidung pesawat.
“Bendera Malaysia dan perkataan ‘Malaysia’ hendaklah dicat atau dilekatkan dengan apa-apa cara untuk memastikan ia berada pada tahap kekal atau seimbang yang sama, pada kedua-dua belah fiuslaj pesawat, sebaiknya ia diletakkan ke arah hadapan atau hidung pesawat,” demikian kenyataan tersebut.
Jadi, kedudukan bendera bergantung pada bahagian yang diletakkan pada fiuslaj belah kiri dan kanan, tetapi kedudukan perkataan mestilah mengikut arah yang betul.
Manakala pada perenggan 10.2, ia menyebut bahawa bendera Malaysia dan perkataan ‘MALAYSIA’ hendaklah mempunyai dimensi yang sesuai berhubung dengan saiz pesawat.
Semoga maklumat ini bermanfaat.