Isteri sedang berpantang, Da’i Syed dipenjara 10 tahun, 3 sebatan kerana merogol. Pendakwah selebriti, Da’i Syed telah dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen hari ini, atas kesalahan merogol seorang wanita di sebuah kondominium lima tahun lalu.
Hakim Norazlin Othman memutuskan demikian setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie pada akhir kes pembelaan.
Hukuman penjara tersebut berkuat kuasa mulai hari ini.
Sebaik mendengar keputusan tersebut, bapa kepada seorang anak itu dilihat menangis teresak-esak di dalam kandang tertuduh.
Turut menemaninya adalah isteri, Hana Ismail, 38, yang baru melahirkan anak 16 hari lalu kemudian memeluk wanita itu.
Pada 10 April 2023, Hakim Rihaida Rafie telah melepas dan membebaskan pendakwah tersebut, yang nama sebenarnya ialah Syed Shah Iqmal Syed Mohd Shaiful, 29, daripada tuduhan tersebut tanpa memanggilnya untuk membela diri.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan merogol mangsa yang ketika kejadian berusia 23 tahun, di dalam bilik sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, pada jam 1.35 pagi, 11 September 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.
Sebanyak 18 saksi pendakwaan telah dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada April 2022.
Pada 31 Mei 2022, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya turut melepas dan membebaskan Syed Shah Iqmal daripada dua pertuduhan iaitu melakukan persetubuhan di luar tabii dan mencabul seorang penuntut kolej swasta.