Isteri Datuk Wan Saiful Wan Jan meninggal dunia. Isteri kepada Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan iaitu Datin Alena Omar dilaporkan meninggal dunia pada jam 2.40 petang Isnin.
Berita itu diumumkan oleh Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kota Melaka, Datuk Hishamuddin Abdul Karim melalui satu hantaran di Facebook.
“Kami dan seluruh kepimpinan Bahagian Srikandi Armada serta Srikandi Muda Bersatu Kota Melaka mengucapkan takziah kepada Wan Saiful atas pemergian isteri tercinta ke rahmatullah sebentar tadi.
“Semoga Allahyarhamah ditempatkan bersama orang beriman,” katanya pada hari Isnin.
Diketahui, jenazah Allahyarhamah akan dikebumikan di Institut Kanser Negara (IKN), Putrajaya dan disolatkan di Masjid Kariah Sungai Sekamat, Batu 12, Kajang pada jam 5.15 petang hari ini.
Urusan pengebumian akan dilaksanakan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sekamat, Jalan Sungai Sekamat.
Pada bulan Jun yang lalu, Wan Saiful sebelum ini telah memaklumkan bahawa isterinya dimasukkan ke wad hospital di Kuala Lumpur kerana menghidap kanser usus tahap empat.
Beliau juga menyatakan bahawa Allahyarhamah telah menjalani rawatan kemoterapi sejak tahun 2020, namun keadaannya semakin kritikal setelah kanser itu merebak ke organ lain.