Ismail Sabri mahu berehat, tinggalkan arena politik arus perdana

Ismail Sabri mahu berehat, tinggalkan arena politik arus perdana

Ismail Sabri mahu berehat, tinggalkan arena politik arus perdana. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beliau sedia berundur daripada arena politik arus perdana, dengan perancangan awal untuk berehat sebelum ini sepatutnya selepas berakhir penggal Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Perancangan awal itu bagaimanapun tersasar selepas beliau dilantik menjadi Perdana Menteri Kesembilan pada 20 Ogos 2021 bagi menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, susulan pergolakan dalam pentadbiran kerajaan ketika itu.

“Saya ada merancang jika menang PRU14, saya akan terus jadi menteri, selepas itu berhenti dan jadi Senator. Tamat perkhidmatan Senator, saya akan terus berhenti (bersara daripada politik sepenuhnya),” katanya dalam wawancara khas bersama BH.

Dengan masalah dalaman UMNO susulan prestasi buruk pada PRU15, Ahli Parlimen Bera itu yang dilihat seperti tidak sehaluan dengan kepemimpinan tertinggi parti berkata, PRU pada 19 November lalu adalah yang terakhir disertainya.

Ismail Sabri mahu berehat, tinggalkan arena politik arus perdana

“Sebenarnya saya merancang untuk berehat selepas PRU14, namun ditakdirkan jadi Perdana Menteri,” kata Naib Presiden UMNO itu yang dilantik ke jawatan tertinggi berkenaan selepas hanya 42 hari menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Mengulas perkembangan dalam UMNO, Ismail Sabri mengakui parti makin hilang sokongan berikutan kekalahan pada dua PRU berturut-turut.

“Tindakan ‘membuang’ satu pasukan untuk mengekalkan satu lagi pasukan hanya menimbulkan pergolakan, akhirnya semakin kurang penyokong. Ini yang saya bimbangkan mengenai masa depan UMNO.

“Ahli baharu yang hendak masuk (sertai UMNO) pun kurang, yang ada pula keluar. Mungkin keadaan sekarang dikatakan aman kerana tiada lagi ‘kaki melawan’, tetapi sokongan semakin hilang,” katanya.

Beliau merujuk keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memecat beberapa pemimpinnya selepas PRU15 kerana dikatakan melanggar peraturan dan keputusan parti, manakala beberapa yang lain pula digantung keahlian.

Sebelum PRU15, antara nama-nama besar yang dipecat adalah Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Shahidan Kassim, disusuli pemecatan terbaru membabitkan Khairy Jamaluddin dan Tan Sri Noh Omar pada 27 Januari lalu.

Bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Naib Ketua Pemuda, Shahril Sufian Hamdan pula antara yang digantung keahlian selama enam tahun.

Khairy dan Noh antara yang lantang mengkritik kepemimpinan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 20222) pertengahan Januari lalu yang meluluskan usul tiada pertandingan dua jawatan tertinggi parti.

Hormati keputusan PAU

Mengenai hasil PAU 2022 itu, Ismail Sabri berkata, beliau menghormati keputusan majoriti perwakilan perhimpunan berkenaan yang diundi bersetuju meluluskan usul dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

“Setakat ini, saya hormati keputusan PAU, kecuali ROS (Pendaftar Pertubuhan) buat keputusan sebaliknya. Kalau ROS buat keputusan lain, kita akan putuskan bila masanya tiba,” katanya merujuk laporan dibuat dua ahli UMNO kepada ROS berhubung usul yang dipertikaikan itu.

Kata Ahli Parlimen Bera itu, beliau difahamkan ROS sudah menjawab surat aduan dibuat dua pengadu terbabit dan sedang menjalankan siasatan.

Ditanya sama ada beliau mengintai jawatan Presiden atau Timbalan Presiden UMNO jika ia dipertandingkan, Ismail Sabri menegaskan, beliau tidak pernah menyebut sepatah perkataan pun atau menunjukkan minat merebut mana-mana jawatan berkenaan.

“Bagi saya, kalau nak ‘berlawan’ tidak boleh ramai-ramai, satu jawatan (direbut sampai) tiga empat orang.

“Ini tiada makna, (hanya) menyebabkan UMNO berpecah, jadi saya kata kena tengok dahulu keputusan parti ada pertandingan atau tidak (sebelum usul tiada pertandingan diluluskan).

Bekas Perdana Menteri juga menegaskan, beliau tidak pernah mempersoalkan keputusan MKT memecat beberapa pemimpin parti atau merujuk tindakan itu sebagai ‘haram’.

“Cuma saya pertikai prosesnya kerana tidak mengikut prosedur dan peruntukan perundangan dalam perlembagaan parti,” katanya.

Baca Lagi:
Duit tiada nilai, orang ramai mula beli barang bayar guna bawang
Rahsia ‘ustaz dunia’ akhirnya terbongkar, hidup mewah hasil duit derma
Pakai baju PN, Aeril Zafrel mahu saman netizen
CATEGORIES