Ira Kazar dedah Syamsul Yusof tuntut kembalikan harta. Pempengaruh Ira Kazar mendedahkan bekas suaminya, Syamsul Yusof, telah membuat tuntutan terhadap beberapa harta ke atas dirinya selepas mereka bercerai pada 5 September lalu.
Perkara itu disahkan oleh peguam syarie Ira, Mohammad Fadhil Abdul Razak, yang hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Keramat hari ini.
“Ya, pihak sana (Syamsul) ada meminta beberapa tuntutan ke atas anak guam saya (Ira). Namun, kami tidak bersetuju kerana perkara tersebut berlaku dalam tempoh perkahwinan mereka.
“Bukan tidak mahu bersetuju dengan tuntutan tersebut, tetapi dari segi hukum syarak, sudah dinyatakan bahawa apa yang telah diberikan tidak akan dipulangkan semula.
“Kami juga tidak setuju apabila hadiah yang diberikan itu dipulangkan semula,” katanya ketika ditemui di mahkamah hari ini.
Mengulas lanjut, Mohammad Fadhil memberitahu bahawa pihaknya telah memberikan beberapa cadangan untuk menyelesaikan perkara itu.
Namun, setakat ini masih belum ada kata putus daripada kedua-dua belah pihak dan mereka enggan mendedahkan butiran lanjut mengenai tuntutan tersebut.
“Memandangkan tuntutan ini dibuat di luar mahkamah, pihak kami telah berbincang dengan pihak Syamsul.
“Tetapi keputusan tuntutan itu belum disahkan lagi. Buat masa ini, saya tidak boleh mendedahkan butiran dalam tuntutan tersebut demi menghormati kedua-dua pihak.
“Lagipun, saya yakin lambat-laun pihak sana (Syamsul) akan dedahkan kepada umum nanti,” katanya.
Sementara itu, Ira, yang nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin, 29, enggan mengulas lanjut mengenai tuntutan bekas suaminya itu.
“Saya tidak mahu komen. Kita hadap (berdepan) sahaja.
“Saya takut bila cakap, orang akan salah tafsir,” katanya.
Hari ini, mahkamah memerintahkan pengarah kontroversi Syamsul, yang nama sebenarnya Mohd Syamsul Mohd Yusof, 40, membayar kos kehadiran sebanyak RM200 kepada bekas isterinya, Ira.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Maizatul Aliza Chee Din pada prosiding yang berlangsung pada pukul 3 petang tadi.
Pada 5 September lalu, Syamsul dan Ira sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor.
Terdahulu, Syamsul dan Ira berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand.