Ini sebab kenapa Maszlee gesa Aiman Athirah letak jawatan Ahli Parlimen Sepang dan Ketua Wanita Amanah. Seorang pemimpin PKR hari ini menggesa Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu, untuk meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Sepang dan Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah).
Gesaan ini dibuat susulan kehadiran Aiman Athirah pada majlis yang dianjurkan oleh sebuah sekolah vernakular untuk mengumpul dana persekolahan, yang turut melibatkan penajaan daripada syarikat arak.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR dan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, berkata kehadiran Aiman Athirah pada majlis tersebut adalah satu insiden memalukan yang menjejaskan imej Amanah dan rakyat Parlimen Sepang yang memilihnya.
“Islam Rahmah yang dibawa oleh parti Amanah tidak pernah sekali-kali bermaksud menghalalkan arak dalam acara sekolah,” katanya.
“Sewajarnya, jika beliau mempunyai maruah dan integriti, beliau harus meletakkan jawatan secara sukarela sebagai Ahli Parlimen dan juga sebagai Ketua Wanita Amanah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Katanya, jika Aiman Athirah mengambil langkah tersebut, ia akan menjadi pengajaran kepada Ahli Parlimen Amanah yang lain supaya lebih teliti, berhati-hati, dan menjunjung prinsip Rahmah yang sebenar.
Dalam pada itu, Maszlee turut kesal dengan kenyataan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, yang menempelak dan memperlekeh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berhubung isu promosi syarikat arak dalam acara yang melibatkan sekolah.
Katanya, tindakan menteri tersebut adalah selari dengan keputusan Kabinet, falsafah pendidikan kebangsaan, pekeliling Kementerian Pendidikan (KPM) sedia ada, dan semangat Madani yang dibawa oleh kerajaan, iaitu mempromosikan gaya hidup sihat dalam pendidikan.
“Membenarkan syarikat arak dipromosikan secara besar-besaran dalam acara yang melibatkan sekolah adalah tindakan membuka kotak Pandora, yang boleh membenarkan industri tidak sihat lain seperti industri tembakau, vape, perjudian, dan hiburan kelab malam untuk dipromosikan dalam ranah pendidikan.
“Guan Eng tidak perlu melihat isu promosi arak dalam acara sekolah dari sudut politik, agama, atau perkauman. Ia berkaitan isu kesihatan, kesejahteraan hidup, dan sivik,” katanya.
Aiman Athirah sebelum ini telah meminta maaf jika ada pihak yang tersinggung dengan gambar beliau memegang replika cek berlogo syarikat arak pada satu majlis sumbangan di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).