Ini sebab kenapa makin ramai suami mula jadi suri rumah. Trend suami memilih untuk menjadi suri rumah menguruskan anak semakin meningkat berbanding dengan 10 tahun yang lalu.
Suami yang mengambil peranan sebagai househusband atau stay-at-home-dads menguruskan rumah tangga sementara isteri mereka bekerja.
Menurut Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh, jumlah golongan ini menunjukkan peningkatan sebanyak 70 peratus berbanding dengan kira-kira 50 peratus pada tahun 2014.
“Fenomena ini sebenarnya telah berlaku lama dan semakin ramai lelaki memilih untuk berhenti bekerja sepenuh masa untuk mengurus rumah tangga.
“Situasi ini berlaku kerana lebih ramai isteri kini mempunyai kerjaya dengan pendapatan yang lebih tinggi berbanding suami,” katanya.
Beliau menambah, situasi ini juga dipengaruhi oleh tekanan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, sama ada di bandar atau luar bandar.
“Dengan kos sara hidup yang semakin meningkat terutamanya bayaran pengasuh yang naik kepada RM300 dan RM400 untuk satu anak, pasangan suami isteri terutamanya yang mempunyai anak ramai perlu membuat pilihan untuk hanya salah seorang bekerja.”
“Ramai membuat keputusan untuk membenarkan isteri yang memiliki gaji lebih tinggi keluar bekerja, sementara suami menguruskan rumah tangga. Dalam situasi ini, semakin banyak lelaki mengorbankan ego mereka untuk memberi peluang kepada isteri bekerja,” ujarnya.
Menurut Hushim, kemampuan lelaki untuk menjadi househusband juga boleh dianggap sebagai satu pengorbanan yang berbaloi kerana banyak anak-anak mereka mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.
Beliau menyatakan, kebanyakan bapa yang mempunyai kelayakan akademik dan memiliki karier cemerlang sebelum ini akan menggunakan pengetahuan dan pengalaman mereka untuk mendidik anak-anak di rumah.
“Selain itu, sebagai ketua keluarga mereka juga boleh menerapkan pendidikan agama kepada anak-anak dan mengamalkan rutin solat berjemaah,” tambahnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui trend househusband juga membawa kesan negatif kerana boleh menimbulkan perasaan rendah diri pada suami yang tidak bekerja, selain menerima pandangan negatif dari masyarakat dan ahli keluarga.
“Oleh itu, ramai pasangan datang berjumpa saya untuk mendapatkan kaunseling kerana situasi di mana suami menjadi suri rumah bukanlah perkara biasa dalam masyarakat dan sering kali mendapat kritikan,” katanya.
“Kebanyakan suami yang mengambil peranan ini mengakui bahawa mereka mengalami kehilangan keyakinan diri apabila berhadapan dengan masyarakat. Keadaan ini sering kali menjadi punca pertengkaran di antara suami dan isteri. Justeru, sesi kaunseling dapat membantu mereka untuk membangunkan semula keyakinan diri,” tambahnya.
Lebih lanjut, beliau menekankan bahawa keputusan untuk suami mengambil tanggungjawab sebagai househusband perlu dibuat dengan persetujuan bersama antara suami dan isteri.
“Dengan persetujuan ini, tidak akan timbul masalah di mana isteri tidak menghormati suami dan anak-anak tidak mengalami kekeliruan,” katanya.
“Dalam Islam sendiri, tidak ada larangan untuk suami menjadi househusband kerana tugas mengurus rumah tangga sebenarnya mencabar dan tidak melibatkan sebarang bayaran,” jelasnya.