Ini sebab kenapa kucing selalu ‘mengurut’ yang ramai tak tahu. Pasti ramai antara pemilik kucing yang pernah melihat gelagat si comel menggerakkan tangan seakan mengurut. Kadang-kadang urut tuannya, kadang-kadang urut kucing lain. Tahukah anda, sebenarnya gerakan itu mempunyai maksud dan sebab tersendiri.
Menurut Purina.co.uk, antara sebab kucing berbuat sedemikian ialah kerana naluri haiwan tersebut semenjak mereka kecil. Ketika kecil, anak kucing akan menekan-nekan badan si ibu ketika menyusu bagi menggalakkan pengaliran susu.
Malah, sebahagian kucing juga akan menghisap bantal, selimut atau baju sehingga mereka dewasa.
Selain itu, gerakan itu juga dikatakan ‘diwarisi’ daripada nenek moyang mereka yang liar. Kucing liar akan menekan-nekan tapak tangan mereka di atas dedaun atau rumput panjang bagi menjadikan sarang untuk mereka berehat.
Tindakan itu dipercayai bagi memeriksa seandainya terdapat pemangsa mahupun bahaya yang bersembunyi di dalam timbunan tersebut. Oleh itu, tindakan kucing peliharaan mengurut anda mungkin sebahagian daripada kebiasaan spesies itu yang diwarisi daripada nenek moyangnya yang liar.
Di samping itu, perbuatan kucing ‘mengurut’ turut dikaitkan dengan cara mereka menandakan kawasan. Hal ini kerana terdapat kelenjar yang melepaskan feromon pada tapak kaki mereka. Oleh itu, jika ia mengurut anda, mungkin itu adalah amaran buat kucing lain bagi menjauhi anda.
Selain itu, ia juga menandakan kucing anda gembira, selesa dan rasa selamat ketika berada dengan anda, seakan bersama ibu mereka.