Ini rupa kereta Axia baharu jika digabungkan dengan Bezza jadi sedan, nampak lebih menarik. Memandangkan Perodua Bezza serba baharu hanya akan tiba pada 2026, sahabat kami yang juga pakar dalam manipulasi digital, iaitu Theottle cuba membayangkan bagaimana rupa Axia baharu yang di’sedan’kan.
Secara jujurnya, Axia baharu nampak lebih sesuai apabila di’kacuk’ dengan Bezza. Perkadarannya (proportion) juga lebih sempurna dan tidak nampak janggal, seperti model semasa yang berasaskan Axia generasi pertama.
Meskipun penggayaan wajah hadapan Axia baharu lebih menjurus ke arah sebuah hatchback, itu tidak menjadikannya pelik apabila ditambah dengan ekor.
Dari pandangan sisi dan belakang, Axia sedan versi Theottle ini tidak lagi kelihatan ‘tonggek’ seperti model semasa dan aliran reka bentuknya lebih sesuai apabila menjadi sebuah sedan.
Disebabkan Axia baharu lebih lebar, maka bahagian belakang Bezza yang disambungkan kepadanya turut kelihatan sedikit mengembang, sekali gus membuatkan ‘kekuda’nya (stance) lebih mantap.
Baru-baru ini, Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) dan Perodua telah menyempurnakan majlis prapelancaran Asian Compact Sedan Design Challenge (ACSDC) 2023 di Putrajaya.
Pertandingan ini merupakan inisiatif bersama antara MRM dan Perodua, dengan objektif utamanya adalah bagi menggalakkan budaya kreativiti dan inovasi berkualiti tinggi dalam kalangan pereka.
Selain itu, pertandingan ini juga dapat menghasilkan reka bentuk yang bersesuaian dan menepati kehendak Perodua sebagai salah sebuah syarikat pengeluar kereta nasional.
Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad, idea rekaan yang terpilih bakal digunakan dalam pembangunan model Bezza generasi baharu atau sedan kompak serba baharu yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan bukan sahaja di Malaysia, malah di Asia.
Ejen perisik Mat Bond mengatakan, Perodua bakal menawarkan enjin 1.2 liter pada model Axia facelift dan besar kemungkinan Bezza generasi baharu juga bakal menggunakannya.
Enjin tersebut merupakan unit petrol 1.2 liter aspirasi alami (NA) WA-VE tiga-silinder yang menghasilkan output sebanyak 88 PS dan 112 Nm daya kilas yang kini digunakan pada model Toyota Agya dan Daihatsu Ayla serba baharu di Indonesia.