Ini punca kenapa sperma lelaki Malaysia tidak berkualiti

Ini punca kenapa sperma lelaki Malaysia tidak berkualiti

Ini punca kenapa sperma lelaki Malaysia tidak berkualiti. Tabiat merokok dan juga menghisap vape kini didakwa punca utama kepada masalah kesuburan lelaki negara ini.

Pakar Perunding Reproduktif Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhammad Azrai Abu, berkata tabiat ini membawa kesan yang lebih buruk lagi berbanding cara pemakanan.

Ini punca kenapa sperma lelaki Malaysia tidak berkualiti

“Merokok dan menghisap vape ini memberi kesan yang sangat teruk kepada lelaki, kesannya ia akan menyebabkan kadar penghasilan sperma itu berkurangan.
“Selain itu pemakaian seluar yang ketat juga menyumbangkan kepada masalah ini kerana aliran darah tidak dapat mengalir ke bahagian testis untuk menghasilkan sperma.
“Sebagai seorang lelaki, individu ini perlu tahu bagaimana cara untuk menjalani kehidupan tanpa menjejaskan tahap suburan mereka.
“Perkara yang perlu dielakkan adalah pemakaian seluar yang terlalu ketat, berhenti merokok dan vape dan juga kurangkan melakukan kerja yang boleh memberikan tekanan yang melampau,” katanya kepada BH, hari ini.

Dr Muhammad Azrai berkata, kesedaran menjaga kesuburan ini perlu datangnya daripada diri sendiri, walaupun harga rokok dan vape dinaikkan, sekiranya tidak ada kesedaran, mereka tetap akan membelinya.

Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya masalah ini berterusan pada masa hadapan, negara ini akan dipenuhi oleh warga tua.

“Jika dibiarkan berterusan, kita tidak akan ada pewaris yang boleh menggantikan orang yang sudah meninggal dunia.

“Secara tidak langsung, pertumbuhan negara akan terkesan, ia akan mengganggu pertumbuhan negara daripada segi tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Dr Muhammad Azrai turut menasihatkan pasangan yang masih belum mempunyai anak selepas dua tahun perkahwinan untuk melakukan pemeriksaan di klinik untuk melakukan ujian kandungan sperma.

“Kita boleh memberikan rawatan. Memang kuantiti sperma itu tidak dapat ditingkatkan sekiranya penghasilannya sudah rosak tetapi kuantitinya masih boleh ditingkatkan.

“Kita akan berikan nutrien yang spesifik untuk pertumbuhan sperma seperti zink dan beberapa nutrien lain supaya sperma lebih aktif.

“Contohnya kuantiti normal sperma adalah 15 juta tetapi suami hanya mampu hasilkan 10 juta sperma, jadi kita mahu kesemua 10 juta sperma itu boleh digunakan,” katanya.

Terdahulu Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Aiman Athirah Sabu, berkata berdasarkan data ujian analisis sperma makmal Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Malaysia (LPPKN) yang mendapati sebanyak 60 peratus menunjukkan keputusan abnormal.

“Perkara berkenaan secara langsung menyumbang kepada peningkatan masalah kesuburan dalam pasangan berkahwin di Malaysia.

“Pada masa yang sama kadar kelahiran di negara kita juga menunjukkan trend penurunan sejak 40 tahun lepas dan ia berkait rapat dengan kadar kesuburan dengan data 2021 Jabatan Perangkaan Malaysia yang menunjukkan 1.7 orang anak bagi setiap wanita berkahwin,” katanya dalam dewan negara semalam.

Pakar Perunding (Urologi) Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Dr Ahmad Nazran Fadzli, berkata melalui data yang ditunjukkan, 60 peratus ini adalah daripada keluarga yang mempunyai masalah untuk melahirkan anak, bukannya 60 daripada 100 lelaki biasa mempunyai masalah sperma.

“Ujian ini dilakukan kepada pasangan yang bermasalah untuk mendapatkan anak sahaja. Ujian ini tidak dilakukan kepada orang awam secara terbuka seperti ujian tekanan darah dilakukan.

“Pada 2019, ada seorang doktor di Terengganu melakukan kajian daripada 300 pasangan yang bermasalah untuk mendapatkan anak, 23 peratus sahaja yang mempunyai masalah sperma tidak normal.

“Isu tidak dapat melahirkan anak bukan sahaja disebabkan sperma abnormal tetapi disumbangkan oleh masalah yang dihadapi kedua-dua pihak lelaki dan pihak perempuan,” katanya.

Beliau turut berkata, walaupun memiliki sperma yang abnormal, pasangan masih lagi boleh mendapatkan anak.

Baca Lagi:
Surat terbuka Syada Amzah untuk ND Lala, “terima kasih membesarkan kami empat beradik”
Buaya gergasi di Selangor ‘Pak Itam’ mati, tiada lagi peneman pemancing udang
Taska didakwa abaikan kanak-kanak dalam bilik isolasi diarah tutup sementara
CATEGORIES