Ini punca kenapa ramai rakyat Malaysia serbu masuk Thailand musim cuti sekolah. Malaysia perlu lebih agresif dalam mempromosikan tradisi rakyat berbilang kaum dan tidak terikut budaya moden Barat dalam usaha menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.
Pengerusi Konsortium Pakatan Pelancongan Dalam Negeri, Uzaidi Udanis, berkata bahawa ketika ini terlalu sedikit produk kebudayaan Malaysia yang berada di pasaran dan diketengahkan kepada pelancong asing serta tempatan.
Katanya, mengambil contoh Korea Selatan, Jepun, dan Bali, pelancong yang melancong ke negara-negara tersebut sanggup menyewa pakaian tradisional seperti Hanbok dan Kimono, semata-mata untuk merasai pengalaman budaya tempatan.
“Malaysia terkenal dengan kepelbagaian budaya, namun sekarang kita jauh ketinggalan berbanding negara lain di rantau ini. Kita lebih cenderung kepada gaya negara Barat yang moden. Pelancong bukan sekadar ingin melihat menara, tetapi mereka mahukan pengalaman budaya yang autentik.”
“Pelancong asing, terutama sekali, sanggup membayar harga yang tinggi untuk belajar membuat kimchi, menari tarian kecak, merasai pengalaman menaiki unta, dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemasukan lebih 51,000 pelancong ke Thailand sempena cuti persekolahan dan Hari Malaysia.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata jumlah berkenaan direkodkan sejak Khamis hingga semalam dan dijangka terus meningkat.
Katanya, jumlah pelancong yang memasuki Thailand melalui ICQS Kota Putra, Kuala Nerang pada Jumaat dan Sabtu lalu adalah sebanyak 6,003.
Mengulas lanjut, Uzaidi berkata Thailand sejak dahulu adalah destinasi pelancongan yang popular di kalangan rakyat Malaysia kerana kepelbagaian aktiviti, pilihan makanan yang murah, dan servis yang baik.
Katanya, walaupun harga minyak di Thailand jauh lebih mahal, negara itu masih mengeluarkan produk makanan dan barang mentah sendiri.
“Ini menjadikan produk pelancongan mereka lebih murah berbanding Malaysia. Selain itu, pelancongan di selatan Thailand juga kini lebih terarah kepada aktiviti berorientasikan kekeluargaan,” katanya.
Uzaidi berkata antara aktiviti yang boleh dipertengahkan di negara ini adalah ‘walking tour’ di kawasan seperti Bukit Nanas, Putrajaya, dan kawasan sekitar Masjid Negara.
“Kita perlu ada penceritaan ketika lawatan bagi menerangkan kepada pelancong mengenai sejarah dan keunikan yang ada di negara ini.
“Sebagai contoh, baru-baru ini kita adakan lawatan solat Jumaat di Masjid Putrajaya untuk memberi peluang kepada pelancong bukan Islam melihat sendiri pengalaman solat Jumaat.
“Selepas selesai solat Jumaat, kita adakan sesi teh tarik bersama Imam, supaya sekiranya ada persoalan, ia boleh dijelaskan secara langsung,” katanya.