Influencer popular nafi mata lebam kerana dipukul suami. Pempengaruh media sosial, Asyallie Ahmad, tampil menjelaskan situasi sebenar selepas timbul dakwaan bahawa dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga oleh suaminya berikutan lebam di bahagian mata yang muncul baru-baru ini.
Bukan Dipukul Suami
Menurut Asyallie, dia menafikan dakwaan warganet tersebut dan menjelaskan bahawa lebam itu adalah akibat kemalangan ketika bermain Go-kart baru-baru ini.
Beliau juga berkongsi bahawa suaminya, yang dikenali sebagai Eboy, turut mengalami kecederaan di bahagian mulut.
“Habis semua orang ingat suami saya pukul saya, padahal saya sudah maklumkan sebelum ini bahawa saya mengalami kemalangan,” ujarnya.
“Saya mengalami kemalangan waktu bermain Go-kart, dan bukan saya seorang, tetapi ada dalam tiga orang yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Suami saya sampai gusi berdarah mungkin disebabkan banyak berlanggar. Kami asyik berlanggar dengan dinding dan drift dengan teruk,” jelasnya.
Pengsan Selepas Alami Hentakan
Lebih mencemaskan, Asyallie turut mendedahkan bahawa dia pengsan akibat mengalami hentakan yang kuat dalam kemalangan tersebut. Namun, dia bersyukur kerana tiada kecederaan serius selepas mendapatkan pemeriksaan di hospital.
“Disebabkan hentakan kuat waktu kemalangan itu, saya pengsan kerana mengalami concussion. Suami saya terus membawa saya ke hospital. Setelah menjalani CT scan dan X-ray, Alhamdulillah tiada apa-apa,” kongsinya lagi.
Bukan Mangsa Keganasan Rumah Tangga
Dalam pada itu, ibu kepada tiga cahaya mata ini mengakui trauma akibat kejadian tersebut kerana tempat riadah itu selalu dikunjungi oleh keluarga mereka.
“Tempat yang selalu kami pergi itu elok sahaja sebelum ini, tetapi malam itu saya rasa jalan dia lain macam, licin.
“Taubat, saya tidak mahu pergi situ lagi.
“Jadi, kesimpulannya, ini bukan keganasan rumah tangga ya,” tulisnya.