Individu kantoikan lelaki berlakon cacat jual rendang dengan harga mahal. Seorang lelaki tertangkap kerana berpura-pura cacat untuk meraih simpati orang ramai dalam usaha menjual rendang yang ditawarkan pada harga mahal.
Video yang dikongsi oleh pengguna Facebook yang dikenali sebagai Eja Isa telah menarik perhatian ramai dan menerima pelbagai reaksi daripada warganet.
Eja Isa berkata, dia melihat lelaki tersebut menjual rendang di sebuah kawasan taman perumahan sambil duduk di atas kerusi roda.
“Minggu lepas lelaki ini berjualan menggunakan kerusi roda, kononnya kakinya cacat dan tidak boleh bergerak di kawasan taman.
“Kakak pun belilah rendang dua paket. Dia datang depan rumah, duduk dan jerit-jerit dalam cuaca panas. Kita pun kesian pada OKU kan. Walaupun dalam hati tak nak beli, tapi beli juga, niat nak bantu. RM 25, dia bergerak dari taman ke taman,” katanya.
Tambah Eja, kualiti rendang yang dibelinya adalah kurang memuaskan kerana setiap paket hanya mengandungi seketul daging bersaiz dua ibu jari.
Apa yang membuatkan dirinya merasa ditipu adalah apabila dia sendiri melihat lelaki berkenaan berdiri dan mengangkat barangnya masuk ke dalam kereta.
Ini termasuklah melipat dan mengangkat kerusi rodanya ke dalam kereta.
“Hari ini, depan mata saya lihat orang cacat yang sama tu berdiri dan mengangkat barang masuk ke dalam kereta. Sebelum itu, dia elok saja naik kerusi roda berjualan dari kedai ke kedai.
“Dah dua kali saya kena scam. Modus operandi dia, konon-konon cacat untuk raih simpati supaya orang membeli,” luahnya.
Dalam pada itu, Eja juga berharap agar individu berkenaan berniaga dengan cara yang jujur tanpa menipu orang ramai.
“Kesian kepada mereka yang betul-betul cacat kerana terpalit sama. Nak jual dengan cara macam ini, berkat ke tidak? Entahlah. Ini sebagai peringatan untuk diri sendiri,” ujarnya.
Ish, memang tak patutlah berniaga dengan cara macam tu. Tak takut ke kalau satu hari nanti nikmat dan salah satu sifat sempurna kita ditarik balik oleh-Nya? Macam-macamlah!