“Lebih baik bunuh saya” kata Rosmah sejurus dijatuhkan hukuman

“Lebih baik bunuh saya” kata Rosmah sejurus dijatuhkan hukuman

“Lebih baik bunuh saya” kata Rosmah sejurus dijatuhkan hukuman.

Datin Seri Rosmah Mansor, ketika membuat kenyataan dari kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi, hari ini menyuarakan kesedihan dan kekecewaannya dengan apa yang berlaku.

Dalam nada sebak, beliau berkata, mahkamah adalah tempat untuk mendapatkan keadilan dan beliau sentiasa mengingatkan pasukan peguamnya supaya sentiasa bercakap benar.

“Ini cara saya dibesarkan. Saya tidak mahu bercakap lebih. Saya menghormati keputusan mahkamah dan saya ingin meninggalkan mahkamah ini dengan memori yang baik terhadap sistem keadilan.

“Saya pernah menjadi wanita pertama negara,” katanya.

"Lebih baik bunuh saya" kata Rosmah sejurus dijatuhkan hukuman

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan memutuskan Rosmah bersalah terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah berkata, beliau tidak mahu menyebut mengenai sumbangannya, namun menegaskan banyak memulakan program untuk kanak-kanak di negara ini.

Katanya, beliau berasa bangga atas sumbangannya bagi memajukan kanak-kanak di negara ini.

“Saya tak pernah terfikir untuk membazir wang. Saya bertanggungjawab ke atas BAKTI (Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri) dan kami mempunyai RM45 juta, tidak pernah saya sentuh satu sen pun,” katanya.

Rosmah berkata, beliau juga tidak pernah mengenali sesiapa dalam Jepak Holdings, syarikat yang dianugerahkan kontrak dalam projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion di sekolah luar bandar di Sarawak.

“Tiada siapa nampak saya ambil wang tetapi kalau begitu kesimpulannya, saya serahkan kepada Allah.

"Lebih baik bunuh saya" kata Rosmah sejurus dijatuhkan hukuman

“Saya tidak tahu pun jumlah kos projek itu sebanyak itu. Saya hanya bercakap benar dan tiada yang lain, kecuali perkara yang benar,” katanya.

Rosmah berkata, beliau tidak pernah terfikir untuk menipu mana-mana persatuan yang dipimpinnya.

“Jadi, apabila saya didakwa di mahkamah, saya terkejut. Saya juga tidak pernah mempengaruhi suami (Datuk Seri Najib Razak). Setiap kali saya buka mulut, dia (Najib) akan kata awak isteri saya, jangan masuk campur,” katanya sambil mahkamah supaya berbelas ihsan kepadanya dalam menjatuhkan hukuman.

“Ini boleh berlaku kepada saya, ia juga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, kepada isteri anda, anak anda atau cucu.

“Saya adalah mangsa…anda mahu kami sengsara, kami semenangnya sengsara. Tolong lihat saya sebagai seorang wanita dan tolong untuk lebih berperikemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, peguam bela Rosmah, Datuk Jagjit Singh, mengemukakan rayuan supaya anak guam dikenakan hukuman ringan.

Beliau meminta hakim menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda minimum kepada Rosmah.

“Rosmah mempunyai perwatakan yang tidak tercela dan berbakti kepada negara sebagai isteri kepada Perdana Menteri, terutama dalam membantu anak-anak kecil yang tidak diberi pendidikan.

“Selain itu, program Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) dibangunkan Rosmah bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan ia sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh isteri mana-mana Perdana Menteri di negara ini.

“Rosmah juga mempunyai masalah kesihatan yang perlu dipertimbangkan mahkamah dan orang lain yang terbabit dengan projek itu semuanya bebas sementara hanya beliau didakwa di mahkamah. Bagaimanapun, Datin Seri Rosmah tetap memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, menggesa mahkamah mengambil kira tahap serius kesalahan berkenaan.

Katanya, Rosmah berhadapan hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah suapan diterima bagi setiap pertuduhan.

“Sebarang keputusan harus membuat mereka yang ingin mengambil rasuah, tidak berbuat demikian. Jika hanya penjara sehari, ia akan memberi isyarat salah kepada rakyat.

“Maksimum atau hampir maksimum hukuman perlu diberikan. Korupsi adalah kesalahan serius,” katanya.

Sejurus mendengar kenyataan itu, Rosmah berkata: “Lebih baik bunuh saya.”

Mahkamah Tinggi kemudiannya memerintahkan Rosmah dipenjara 10 tahun bagi setiap tuduhan, yang berjalan secara serentak dan didenda RM970 juta.

Bagaimanapun, Mohamed Zaini membenarkan pelaksanaan hukuman itu ditangguhkan hingga Rosmah mengemukakan rayuan.

Jika beliau gagal membayar denda berkenaan, Rosmah perlu menjalani hukuman penjara tambahan 30 tahun.

Baca lagi: 

Rosmah Mansor didenda sebanyak RM970 juta lebih banyak daripada Najib Razak

Rosmah Mansor berhati syaitan!, Fazley Yaakod dan isteri dedah perbuatan terkutuk buat ramai netizen terkejut!

Kecoh! Wanita masuk padang minta teman lelaki pulang ketika perlawanan bola sepak

CATEGORIES