Kerja 4 hari seminggu mampu elak ‘traffic jem’

Kerja 4 hari seminggu mampu elak ‘traffic jem’

Kerja 4 hari seminggu mampu elak ‘traffic jem’

Minggu lalu, lebih 3,000 pekerja daripada 70 syarikat di Britain melaksanakan sistem bekerja empat hari seminggu. Menariknya, dengan hanya bekerja dalam tempoh tersebut, mereka masih menerima gaji penuh untuk sebulan.

Idea itu pastinya akan menjadi ikutan banyak negara. Namun, wajarkah ia dilaksanakan di Malaysia? Ini kerana, kebanyakan syarikat di Malaysia mengamalkan waktu bekerja lima hari seminggu dengan lapan jam sehari.

Tetapi idea ini tidak mustahil kerana sewaktu negara berdepan pandemik Covid-19, ramai pekerja mula beralih kepada bekerja dari rumah.

Sungguhpun pada awalnya dilihat janggal, lama-kelamaan ramai memilih untuk mengikuti corak kerja ini kerana menjimatkan masa dan kos perjalanan yang membebankan.

Jika idea bekerja empat hari seminggu pula diperkenalkan, pasti ramai pekerja dapat beradaptasi dengan baik terhadap corak kerja itu.

Satu dapatan kajian menunjukkan purata waktu kerja ideal bagi seorang pekerja yang bekerja lapan jam sehari adalah lebih kurang dua jam 53 minit sahaja.

Dapatan kajian daripada artikel “Shortening Work Week for Greater Productivity” itu percaya, kebanyakan waktu lain diperuntukkan untuk kerja-kerja tidak produktif seperti melayari media sosial dan berbual di luar konteks kerja.

Melalui kajian tersebut, kita harus sedar produktiviti pekerja tidak lagi boleh diukur dengan jumlah waktu bekerja sehari atau jumlah hari bekerja dalam seminggu di pejabat.

Sebaliknya, perlu fokus untuk membaiki keseimbangan mutu kerja dan kehidupan.

Memandangkan setiap hari rakyat Malaysia berdepan dengan kesesakan trafik yang semakin teruk, alangkah baiknya jika mempertimbangkan idea bekerja empat hari seminggu ini.

jalan tun razak e1655085837857

Setidak-tidaknya cara bekerja sedemikian dipercayai dapat meredakan kesesakan trafik dan kerajaan juga dapat menjimatkan kos subsidi petrol dan diesel.

Menurut Pensyarah Kanan Psikologi Industri dan Organisasi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Fatimah Wati Halim, pengurangan waktu bekerja dalam sehari tidak menjamin peningkatan produktiviti dan terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi produktiviti pekerja.

Ujarnya, produktiviti di tempat kerja tidak bergantung kepada masa atau jam bekerja yang diperuntukkan, tetapi ia lebih diukur melalui kecekapan seseorang itu bekerja, keberkesanan cara kerja diterapkan dan sikap positif terhadap sesuatu kerja.Dalam hal ini, seseorang pekerja harus bijak mengurus masa bagi memastikan mereka dapat mencapai keseimbangan antara diri, keluarga dan juga kerjanya.

Malah, pandangan sama turut dikongsikan oleh Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Syed Hussain Syed Husman yang percaya idea ini akan mengakibatkan peningkatan kos dan tidak sesuai dilaksanakan tatkala majikan masih bergelut dalam fasa pemulihan Covid-19.

Peningkatan kos akan membuatkan satu-satu perniagaan kurang berdaya saing di pasaran sekali gus mengakibatkan syarikat kehilangan klien dan pasaran jualan. Oleh itu, faktor budaya kerja yang berbeza antara negara mesti diambil kira.

Dalam pada itu, idea bekerja empat hari seminggu hanya akan berjaya dilaksanakan jika wujud kefahaman antara pihak pekerja dan majikan bahawa gaji yang dibayar itu berkadaran dengan jam kerja sebenar dan bukan berdasarkan gaji penuh sebulan.

Impaknya, jika kadar gaji sebulan dikekalkan dan pekerja bekerja kurang daripada waktu kerja yang ada sudah tentu majikan akan menanggung kos operasi yang lebih tinggi tetapi kadar produktiviti menurun.

Jadi, idea ini perlu diperhalusi dengan betul bagi memenangkan kedua-dua pihak. Bak kata orang bijak pandai ‘tali jangan putus, kaitan jangan sekah’.

Kini, trend pekerjaan telah berubah. Penerimaan elemen kecerdasan buatan dan automasi dalam trend pekerjaan juga mula menjangkau pelbagai transformasi dalam budaya kerja.

Sehubungan itu, penulis percaya idea bekerja empat hari seminggu dilihat sangat efisien dan mementingkan produktiviti.

Namun, aspek dari segi kos, hak majikan dan pekerja wajar dipertimbang secara menyeluruh sebelum melaksanakannya di Malaysia.

Percayalah, tanpa budaya kerja yang betul, pekerja akan menculas dalam melaksanakan amanah. Renung-renungkan.

Baca Lagi:

9 lelaki belasah 2 wanita sampai lunyai di restoran dicekup polis

3 sekawan menyelam macam ikan tanpa tabung oksigen, terjumpa sesuatu dalam laut

“Jumpa dekat akhirat nanti ya” lelaki pertikai siapa buat prosedur nikah di Malaysia macam ni

CATEGORIES