4 tahun `turun naik mahkamah’, nasib Rosmah Mansor akan diketahui 7 Julai ini

4 tahun `turun naik mahkamah’, nasib Rosmah Mansor akan diketahui 7 Julai ini

4 tahun `turun naik mahkamah’, nasib Rosmah Mansor akan diketahui 7 Julai ini.

Selepas kira-kira empat tahun `turun naik mahkamah’, Datin Seri Rosmah Mansor akan mengetahui nasibnya pada 7 Julai ini sama ada dibebaskan atau disabitkan atas pertuduhan rasuah berhubung tender membekal dan memasang tenaga solar hibrid di 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh berkenaan ketika sebutan kes dan klarifikasi di hadapan beliau hari ini.

“Kes kita sudah sampai ke penghujung jalan, jadi sudah tiba masanya untuk menamatkan perjalanan dan menetapkan tarikh untuk memberi keputusan.

“Saya bercadang menyampaikan keputusan dalam tempoh dua bulan dan mahkamah menetapkan 7 Julai ini untuk mengumumkannya. Saya akan menyertakan penghakiman bertulis pada hari tersebut,” jelas Hakim Mohamed Zaini.

Rosmah, 70, bakal menjadi tumpuan negara kerana apa sahaja keputusan dan alasan penghakiman yang diumumkan oleh hakim berkenaan akan membawa impak yang besar terhadap beliau selaku isteri bekas Perdana Menteri.

4 tahun `turun naik mahkamah’, nasib Rosmah Mansor akan diketahui 7 Julai ini

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan, pihaknya mengemukakan dua nas undang-undang, salah satunya melibatkan kes terkini Mahkamah Persekutuan yang diumumkan pada 30 April lalu, untuk menyokong kes pendakwaan.

Bagaimanpun, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader memberitahu, pihak pembelaan baru menerima kedua-dua autoriti tersebut sejurus sebelum kes disebut dan memerlukan masa untuk meneliti dan menjawabnya.

Mahkamah kemudian membenarkan lanjutan masa kepada pihak pembelaan dan mencadangkan mereka mengemukakan penghujahan bertulis.

Hakim Mohamed Zaini selanjutnya memberi jaminan akan meneliti penghujahan bertulis yang akan dikemukakan seperti mana beliau membaca penghujahan terdahulu sekurang-kurangnya sekali dan akan mengulanginya lagi.

Pada 23 Februari lalu, pihak pembelaan menutup kes selepas memanggil dua saksi memberi keterangan iaitu Rosmah dan bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod, 72.

Pada 18 Februari 2021, Rosmah diperintah membela diri atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Keterangan bela diri Rosmah didengar pada 5 Oktober 2021. Suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sebelum itu tersenarai sebagai saksi pembelaan, bagaimanapun tidak dipanggil memberi keterangan.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi Abang Samsudin yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Datuk Rizal Mansor melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Hukuman melibatkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Baca Lagi:

Tanah bernilai RM2.75 juta dijual dalam senyap! Ini yang terjadi kepada harta peninggalan Tan Sri Jins Samsudin..

Kecoh! Lelaki ini ‘kantoi’ curi kondom pada hari raya pertama

Tips penjagaan bateri yang betul, elak kereta anda berhenti tiba-tiba ditengah jalan

CATEGORIES